Saturday, April 9, 2016

Cerpen: Penghujung( Part 3)



11/12/15- 8.30 p.m.-Shahrizal bin Saidi
“Abang tak call Asyraf?”
Aku terpinga-pinga memandang wajah Marini. Tidak mendengar soalannya sebentar tadi. Isteriku itu hanya tersenyum, meletakkan secawan nescafe di atas meja dan melabuhkan punggung di sebelahku.
“Abang tak call Asyraf?” ulangnya lagi. Aku menggeleng dan mengambil cawan nescafe yang panas suam itu. Marini melepaskan nafasnya panjang. Mungkin tidak puas hati melihat reaksiku sebentar tadi.
“Walau macam mana pun, dia tetap anak abang tau…”sambung Marini. Aku hanya mengangguk dan meneguk nescafe yang disediakannya tadi. Melihat aku seolah-olah tidak berminat untuk meneruskan perbualan ini, Marini hanya menggeleng-gelengkan kepala sebelum menumpukan perhatiannya ke muka televisyen.
Entah bila kali terakhir aku melihat anak lelaki sulungku itu. Mungkin hampir 3 atau 4 bulan. Aku rasa aku tidak perlu menghubunginya. Aku yakin Hasmah sudah memberitahu Asyraf tentang penceraian kami.  Lagipun, Asyraf memang lebih rapat dengan ibunya.
Suatu ketika dahulu, Asyraf memang rapat denganku tetapi entah sejak bila hubungan antara kami semakin menjauh. Mungkin sejak dia menginjak dewasa dan memahami keadaan di sekeliling. Dua tiga tahun kebelakangan ini, dia tidak pernah memandang tepat ke arah wajahku. Ada sahaja alasan untuk dia mengelak daripada berbual mesra denganku. Setiap hari aku dapat rasa dia semakin menjauh dan setiap hari itulah juga perasaan benci pada bekas isteri ku makin membara. Entah apa yang dikatakannya kepada Asyraf sehingga dia bersikap sedemikian. Aku yakin dia pasti memburuk-burukkan aku di depan Asyraf. Memang dari dulu lagi aku pasti wanita itu membenci aku.
Aku mengeluh kuat. Sekilas Marini memandang ke arahku seolah-olah ingin berkata sesuatu, tetapi aku hanya memerhatikan skrin televisyen dan tidak menggendahkannya. Akhirnya, dia menumpukan perhatiannya kembali kepada berita di TV3.
Aku mengenali Hasmah Zainab sejak dari zaman kolej lagi. Kali pertama bersua, aku tidak mempunyai apa-apa impresi terhadap dirinya. Apa yang aku ingat, dia hanya seorang yang pendiam, serius dan bukan jenis yang digemari ramai. Bukan jenis kawan yang selalu berada di sampingku. Jujur aku katakan personalitinya bukanlah jenis yang aku sukai. Kaku, janggal dan membosankan. Tetapi memandangkan dia selalu dipasangkan denganku untuk kerja berkumpulan, aku cuba juga untuk memahami dan bergaul dengannya. Tetapi hubungan kami hanya setakat itu sahaja. Hanya berkisar tentang kerja-kerja yang rasmi. Tiada talian persahabatan dan tiada pergaulan peribadi.
Apabila emak memaksa aku menerimanya sebagai isteri, aku benar-benar bingung. Bersungguh-sungguh aku menolak dan membantah, tetapi emak adalah emak. Apa yang diingininya mesti  ditunaikan dengan serta merta.  Aku cuba untuk menerimanya dan melayaninya dengan baik, tetapi perasaan tidak suka lebih membuak-buak di dalam hati. Sukar untuk aku memandang wajahnya tanpa rasa panas dan meluat. Kalaulah bukan kerana janji bodoh antara ibu bapa kami dulu, memang aku tidak akan memperisterikannya. Apa yang membuatkan aku rasa lebih tidak puas hati adalah sikapnya sendiri. Aku tidak mampu menolak kerana emak masih lagi sihat, tapi ibunya sudah lama pergi dan bekas ayah mentuaku nyata membantah perkahwinan kami. Tiada alasan kenapa dia tidak boleh menolak permintaan emak dulu. Aku rasa memang wanita bertujuan untuk memporak-perandakan kehidupanku. Panas hati ini apabila memikirkn tentang perempuan tu.
Aku pandang ke arah Marini sekilas, ralit dia menonton berita sukan yang dipaparkan. Marini. Dia merupakan seorang ahli farmasi. Kali pertama bersua, hatiku sudah mula terpaut. Sikapnya yang ramah dan suka bergurau sentiasa membuat aku tersenyum. Dia benar-benar berbeza. Di awal perhubungan kami, dia enggan menerimaku kerana aku adalah suami orang katanya, namun saban hari perasaan antara kami semakin membara. Akhirnya tahun kedua perkenalan kami, aku mengahwininya dengan bantuan abangku, Syukri. Mungkin Syukri tahu betapa terseksanya hidupku dengan wanita yang aku tidak sukai selama ini. 
Teringatkan sesuatu, aku memandang ke arah jam dinding. Sudah hampir 8.45 malam. Aku berjanji untuk berjumpa dengan abangku Syukri pada jam 10 nanti. Jadi aku hanya ada masa 1 jam untuk singgah ke klinik dan mengambil fail untuk seminar esok. Aku bangun untuk bersiap-siap.
“Abang keluar kejap. Janji nak jumpa dengan Along” beritahuku kepada Marini. Marini hanya mengangguk.
Aku mencapai kunci kereta di atas meja tamu dan menuju ke arah pintu.
“Abang, saya nak burger! Burger ayam special” jerit Marini dari ruang tamu. Aku menyahut perlahan.
Sebaik aku tiba di Warung Waled berdekatan dengan kawasan kejiranan, Along telah sedia menunggu dengn sepinggan mee dan teh ais. Aku mengambil tempat duduk di hadapannya. Pelayan warung yang melihat kedatanganku menghampiri kami. Setelah mengambil pesanan, dia berlalu pergi.
“So, engkau macam mana?” soal Syukri tanpa berdolak dalih. Aku memandang ke arahnya sekilas.
“Macam mana apa? Sama macam biasa. Tak ada apa yang berubah” balasku. Syukri tertawa mendatar.
“Haah. Tak ada apa yang berubah kan…lagipun, dah lama korang hidup tak bersabung mata. Kalau diikutkan korang ni macam dah lama bercerai…”ujar abang long ku lagi.Aku mengangguk. Benar kata-katanya itu. Aku dan dia memang sudah lama hidup seperti pasangan yang sudah bercerai.
Abang Long memusing-musingkan straw di dalam gelas the aisnya. Nampaknya ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Aku hanya membisu menanti dia memulakan bicara.
“Dah jumpa dengan emak?” soal Along.
“Belum, nak tunggu angin dia reda dulu. Lagipun, dia bukannya sihat sangat” balasku. Syukri ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Aku memandangnya tajam. Hairan dengan reaksi yang diberikan.
“Kenapa?” soalku bila tawanya sudah reda.
“Mak yang izinkan Asmah mintak cerai. Kenapa pula dia nak naik angin?”soal along kepadaku. Aku menjungkitkan bahu dan mengalihkan pandangan pada semut yang sedang bergerak laju. Betul kata along. Emak dengan mulutnya sendiri yang menyuruh aku menceraikan Hasmah. Tetapi selepas hari itu, tidak sekalipun dia memandang wajahku. Kehadiranku tidak diendahkan. Selalu aku dibiarkan berbicara sendiri tanpa sepatah kata pun keluar dari mulutnya.  Layanannya kepada Marini juga semakin menjadi-jadi. Kalau selama ini Marini dilayan seperti anak tiri, sekarang dia dilayan seperti angin. Seolah-olah langsung tidak wujud di depan mata emak. Aku mengeluh kecil. Along memandangku dengan penuh simpati. Memahami situasiku dengan emak ketika ini.
“Chills la beb…lama-lama emak faham jugak. Ko kan anak dia” ujar Along untuk menyedapkan hatiku. Aku tersenyum pahit. Kalaulah betul apa yang along cakap tu. Kalaulah perkara ini semudah yang disangka. Mengingatkan perangai emak selama ini yang seperti kera di hutan disusukan, aku benar-benar musykir dengan kata-kata Along itu.
“Hasmah macam mana?” soal Along. Melihat aku yang keliru dengan soalannya, dia menyambung lagi.
“Yelah, apa-apa pun korang dah bersama selama 15 tahun, Ada Asyraf lagi tu. Tak histeria ke masa ko ceraikan dia. Ye lah, macam perempuan lain. Menangis ke, marah ke?” soal Along. Aku menggeleng.
Wanita itu seperti batu. Langsung tidak ada emosi yang terpapar di raut wajahnya. Malah ketika dia meminta cerai daripadaku beberapa bulan, wajahnya tetap sama seperti biasa. Seolah-olah dia bertanya kepada aku apa yang perlu dimasak untuk makan malam keesokan harinya.
“Saya nak bercerai”ujarnya ketika kami makan malam beberapa bulan lalu. Aku terkedu. Tiada perkataan yang keluar dari bibirku. Dia menyambung lagi.
“Saya dah beritahu emak. Emak tak kisah. Saya pun dah mintak consultation daripada lawyer. Ada beberapa borang yang kita perlu isi” beritahunya.
Aku hanya mampu memandangnya waktu itu. Perasaan di dalam hati bercampur baur. Tetapi egoku mengatasi semua perasaan yang dirasaiku ketika itu.
“Heh, memang dah masa pun. Sepatutnya dulu lagi dah …” balasku sinis. Dia hanya menggangguk dan menyambung suapan nasi ke mulut. Langsung tidak terkesan dengan sindiranku sebentar tadi. Sekali lagi aku terkedu.
Aku cuba mengingat bila kali terakhir dia menunjukkan wajah marah, ataupun menangis di hadapanku. Erm…seeingatku, tidak pernah sekali pun.  Dulu di awal perkahwinan kami, dia selalu tersenyum dan kadang-kadang ketawa di hadapanku. Pernah juga dia bergurau senda denganku, tetapi itu lama dulu. Sekarang cuma kadang-kadang aku melihat dia ketawa. Itupun hanya apabila Asyraf pulang ke rumah dan mengusik ibunya itu. Sekali lagi aku mengeluh dan memandang wajah along sekilas. Melihat wajah Along yang menanti reaksiku, aku membalas.
“Macam mana lagi. Dia tunjuk muka batu dia tu la. Tak ada ekspresi…” ujarku kasar.
Along menguis-nguis mee goreng di dalam pinggan. “Maksud ko, muka kecewa dia?” ujar Along tiba-tiba. Aku memandangnya kehairanan. Tidak senang hati dengan hala tuju perbualan ini. Along masih lagi menguis-nguis mee goreng yang tinggal separuh itu.
 “Dia bukan batu shah!” ujar Along sedikit tegang. Aku mengerutkan dahi, makin tidak senang dengan reaksi Along kali ini. Dengan perlahan Along meletakkan sudu yang dipegang. Nafas panjang dihela. Tepat dia memandang anak mataku.
“13 tahun dulu aku nampak dia ketawa sambil air mata berjuraian jatuh bila dia bercakap dengan Marini di kaunter pendaftaran. Masa tu aku rasa dia dah tahu siapa Marini sebenarnya, tapi dia tetap mendiamkan diri ”ujarnya tiba-tiba. Pantas aku memandangnya kembali. Terkejut. 13 tahun lalu? Bila? Mungkin…masa Marini beritahu aku ada perempuan pelik datang ke klinik hari tu? Tapi bila aku tanya bukan ke hasmah kata dia tak pernah datang ke klinik aku. Malah selama 15 tahun ni, sekali pun dia tak pernah jejakan kaki ke Klinik Mahkota tu.
“11 Tahun yang lalu, terkocoh-kocoh dia peluk Asyraf keluar dari rumah mak bila ko kata ko bawak Marini yang tengah sarat mengandung untuk datang beraya. Raut wajah dia, Tuhan je yang tahu. 6 tahun lalu aku nampak dia jatuh terjelapuk depan mak bila ko tolak asyraf ke dalam longkang semata-mata nak selamatkan Aleesya. Asyraf kena 5 jahitan kan masa tu dan patah tangan kiri. Pertama kali aku tengok kebencian dalam mata Hasmah. Dan 15 tahun ni, macam-macam wajah kecewa aku tengok dia pamerkan.Heh…muka batu? Aku pun tahu takkan kau tak tahu?” soalnya kembali.
Aku hanya diam membungkam. Peduli apa aku dengan apa yang Hasmah rasakan. Aku dan dia tiada apa-apa kaitan lagi. Yang memilih cara kehidupan ini adalah dia. Bukannya aku. Yang ada pilihan adalah dia dan bukannya aku.     
 “Aku tak nak cakap semua ni….Dan kau pulak adik aku. Aku yang tengok ‘first hand’ betapa susahnya kau nak terima Hasmah dulu. Betapa tak ‘happy’nye engkau dengan dia.” Along menyambung lagi. Aku hanya membisu. “Ini kali pertama aku cakap dengan kau tentang semua ni. Tapi pernah kau fikir pasal Asyraf tak? Kalau ada sikit rasa sayang dan kasihan kau pada Asyraf, jangan layan Hasmah macam musuh kau lagi.” ujar Along.
Aku memandangnya tajam. Panas mendengar nama Hasmah meluncur keluar dari bibirnya.
“Kenapa…Kenapa tiba-tiba Along cakap semua ni? Along berpihak pada dia ke sekarang?” soalku perlahan-lahan. Geram melihat along mempertahankan wanita itu. Along adalah orang yang paling rapat denganku dulu. Malah dia lihat bagaimana aku melutut di depan emak, merayu supaya emak melupakan hasrat untuk menjodohkan aku dengan Hasmah. Wanita itu, pandang pun aku rasa dah tak suka, macam mana aku nak hidup, makan, minum dan tidur dengan dia sepanjang hidupku? Aku ingat along memahami aku memandangkan, along juga dipaksa mengahwini Kak Long dan berpisah dengan teman wanitanya yang hampir 10 tahun itu tapi nampaknya tidak.
Situasi kami hampir sama. Apa yang berbeza adalah tiada kebencian di hati Along untuk Kak Long, sebab itu perkahwinan mereka bahagia. Tetapi aku, setiap kali aku ingatkan Hasmah dan penampilannya, memang jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan kak long. Rupa paras, fesyen sense. Huh boleh dikatakan wanita itu memang berasal dari zaman batu.     
Along menggeleng laju. Menafikan tuduhanku sebentar tadi.
“Bukan along nak berpihak pada siapa-siapa shah…tapi along..along…”tergagap-gagap along, sukar untuk berkata-kata. Aku menjadi semakin tegang. Melihat wajahku yang semakin muram, Along mengeluh panjang. Dia menyerah kalah dengan kedegilanku
“Along ada call Asyraf tadi….”ujar Along perlahan  cuba menukar topik perbincangan kami. Pantas aku berpaling memandang wajah Along tajam. Terkejut apabila tahu dia menelefon Asyraf. Aku pun tak telefon Asyraf lagi, kenapa dia yang beria-ia? Faham dengan reaksiku yang seperti tidak puas hati, Along mula menjelaskan.
“Kak Long kau ada kem kat sana esok, emak suruh Along call tanya kalau dia nak kirim apa-apa” jelas along. Aku mengangguk faham. Ini bukan kali pertama kakak iparku itu ada program di sana. Maklumlah guru matematik cemerlang kebangsaan katakan, memang selalu dia ada program-program macam ni di sekolah berasrama. Kalau aku tak salah, sebelum ini kak long juga pernah mengadakan program di sekolah Ayraf. Entahlah, aku tak ingat sangat. Asyraf tak pernah memberitahu aku tentang perkara sebegitu dan aku, jarang aku menelefon dan berbual dengannya.
“Lepas tu, dia ada beritahu abang yang dia tahu korang dah bercerai. Saja-saja abang tanya dia macam mana dia rasa…”sambung along lagi meleretkan hujung ayatnya seolah-oleh menunggu reaksi daripadaku.
“Apa dia cakap?” soalku kembali. Ingin tahu. Apa-apapun Asyraf tetap darah dagingku. Along tidak segera menjawab. Perlahan-lahan dia menyisip teh tariknya.
 “Dia kata dia tak rasa apa-apa pun. Kecewa pun tidak dan sedih pun tidak. Dan lagi satu….”Dia mengeluh kecil sambil mengerutkan dahi. Seolah-olah sukar untuk menyambung.
“Dia kata mungkin pak long dan abah dia tak sedar, tapi bagi dia kertas cerai tu hanya satu formaliti. Ibu dia dah lama hidup macam janda dan dia dah lama hidup macam anak ibu tunggal. Dia dah rasa semua apa yang dia perlu rasa sampaikan dah tak ada apa-apa lagi perasaan marah atau kecewa yang tinggal dalam hati” ujar along tanpa memandang wajahku.
Aku hanya melihat wajah along sebaik sahaja dia menghabiskan kata-kata. Tidak tahu apa yang patut aku katakan. Terkejut mendengar kata-kata Asyraf. Tetapi apabila memikirkan tahun-tahun yang sudah berlalu……aku terkedu.

No comments:

Post a Comment