11/12/15- 8.30 p.m.- Hasmah Zainab
“Sayang jaga diri baik-baik eh? Nanti kalau ada kelapangan
dua-tiga minggu lagi ibu pergi sana ok?” ujarku kepada satu-satunya anak
tunggalku itu. Risau juga duduk berjauhan dengan buah hatiku itu walaupun ini
sudah masuk tahun kedua dia duduk di asrama. Betul kata orang walaupun sudah
tua dan beruban, seorang anak tetap bergelar anak di hati ibu bapa. Tidak
kiralah setua mana pun usianya.
“Haah, Insya Allah. Ibu pun jangan lupa jaga diri
elok-elok.ok?” balasnya. Aku tersenyum kecil. Gembira menyedari bahawa dalam
dunia ini masih ada insan yang benar-benar menyayangi dan menghargai diriku.
“ Ye…ye…Ibu tahu.”tingkahku kembali. Kedengaran jejaka
terunaku itu ketawa kecil.
“Oklah ibu. Nanti Asyraf call lagi. Sayang ibu!”jeritnya
perlahan di hujung talian. Makin lebar senyuman di bibirku mendengar ucapannya
itu.
“Ye sayang…sayang Asyraf jugak! Bye. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”balas asyraf kembali. Aku pun mematikan
talian. Asyraf…asyraf. Aku spontan memandang gambarku dan anak terunaku itu
yang tergantung di dinding kamar tidurku. Senyuman manisnya benar-benar
menenangkan jiwaku.
“Sayang…sayang” perlahan bibirku memanggil dirinya. Kalaulah
Asyraf tak ada di sisi ibu selama ini, ibu rasa dah lama ibu jadi gila. Asyraf
yang menjadi kekuatan ibu. Asyraf lah senyuman ibu dan cinta di hati ini. Bila
ibu peluk Asyraf ibu gembira. Bila ibu pandang wajah Astraf ibu tersenyum dan
sekarang walaupun dalam hati ibu penuh ombak dan gelora, sebaik sahaja ibu
dengar suara anak kesayangan ibu ni, hati ibu mula tenang.
“Terima kasih sayang” ucapku lagi sambil menatap wajahnya.
Tanpa kusedari titisan air mata yang enggan jatuh sejak tengah hari tadi
akhirnya jatuh berteraburan di pipi.
Sembilan bulan yang lalu ketika aku tengah sibuk bertugas di
Unit Rawatan Pesakit Luar, aku menerima panggilan daripada Saleha
menangis-nangis mengatakan ibu mentuaku mengalami serangan jantung.
Bergegas-gegas aku meminta seorang MO yang berada di situ untuk memaklumkan Dr.
Faridah dan memintanya menggantikan diriku buat sementara waktu. Sebaik sahaja
aku tiba di wad kecemasan emak telah dipindahkan ke unit rawatan rapi. Aku
benar-benar risau kerana ini adalah kali ketiga emak mengalami serangan jantung
pada tahun ini. Setelah memastikan keadaan ibu mentuaku stabil aku mula
berjalan menuju ke arah kawasan menunggu untuk menenangkan adik iparku itu. Langkahku
terhenti seketika apabila melihat wajah-wajah yang tidak ingin aku jumpai ada
di situ bersama Saleha, tetapi apabila mengingatkan bahawa wanita yang
terlantar di ICU itu adalah ibu mereka, aku gagahkan juga kakiku untuk terus melangkah.
“Mak macam mana?” soal Shah kasar. Aku memandang ke arahnya
sekilas. Nak tanya ke nak cari gaduh ni? Kalau ye pun tak suka, salah ke kalau
bertanya elok-elok? Ingin sahaja aku berkasar dengannya kembali tetapi pada
masa ini aku benar-benar tiada kemahuan untuk berbuat begitu. Tangan putih gebu
yang erat memaut lengannya itu tidak terlepas daripada pandanganku. Aku tahu
milik siapa jari jemari tersebut tapi pada waktu ini aku benar-benar tidak ada
tenaga untuk berhadapan dengan kedua-duanya.
Aku mencapai tangan Saleha yang masih lagi tersedu-sedu. Air
mata masih berlinangan di hujung matanya.
“Mak dah ok sekarang. Dia stabil” aku memberitahu saleha. “
Jangan risau, dia dah sedar sikit tadi tapi doctor masih lagi nak monitor
keadaan mak. Ok?” sambungku lagi memujuk. aku menggosok-gosok tangan Saleha
perlahan. Langsung tidak mengindahkan dua orang manusia yang berada di
sebelahku.
“Boleh abang masuk tengok sekarang?” soal Syukri, abang
iparku. Aku menggeleng perlahan.
“Saya rasa sekarang tak boleh lagi. Doktor masih nak tengok
keadaan dia sekarang. Along kenal Dr. Lin kan? Dr. Lin Chow Min. Nanti dia
keluar along tanya dia. Dia yang ‘in charge’ sekarang.”balasku lagi.
Syukri hanya mengangguk perlahan. Mengerti yang aku hanya
boleh melihat keadaan emak dan memaklumkan kepada mereka sahaja. Tiada apa lagi
yang aku boleh lakukan ketika ini. Aku segera meminta diri daripada
adik-beradik iparku. Mereka sedar bahawa aku tidak selesa untuk bersama-sama
mereka di situ lantas mereka hanya mengangguk dan tersenyum. Laju aku melangkah
pergi dari situ.
“Asmah….asmah…mak lepaskan Asmah. Kalau Asmah…nak terbang
pergi pun…mak lepaskan Asmah sekarang. Dah 15 tahun berlalu…..dah lama mak
kurung Asmah dalam penjara yang gelap ni. Maafkan mak…”
Suara emak ketika melihat wajahku sebentar tadi
terngiang-ngiang di telingaku. Hatiku yang selama ini keras membeku mula
mencair sedikit demi sedikit. Dah tiba ke masa untuk aku membebaskan diri
daripada penjara yang tak berjeriji ni? Boleh ke Asmah pergi mak? Betul ke mak
maksudkan apa yabg mak beritahu Asmah tadi?
“Ibu” aku menyebut perlahan wanita yang aku rindui sejak
dulu lagi. Ibu…boleh ke Asmah tumaikan keiinginan Asmah selama ini? Aku
memandang langit yang biru. Mengharapkan sesuatu. Mengharapkan ada suara yang
mengjawab jeritan hatiku. Namun apa yang aku dengari hanyalah kesibukan manusia-manusia
yang berada di sekelilinggku sahaja.
Aku memandang ke setiap penjuru bilik tidurku. Tiada apa
yang perlu diubah. Tiada gambar aku dan bekas suami untuk disimpan, tiada baju
mahupun tualanya yang perlu dikemas, tiada buku-buku ataupun kertas kerjanya
yang terselit di mana-mana. Aku mengeluh kecil. Entah bila kali terakhir dia
menjejakkan kaki ke dalam bilik ni? Entahlah aku pun tak ingat. Setahun? Dua
tahun? Mungkin lebih dari itu.
Ting Tong! Bunyi loceng rumah mengejutkan aku daripada
lamunan. Siapalah yang datang malam-malam buta ni. Sekilas aku memeriksa
telefon bimbitku takut-takut ada mesej ataupun panggilan yang aku tak jawab
sebentar tadi. Hmm…tiada apa-apa.
Dalam perjalanan untuk menuju ke muka pintu, aku terpandang
pintu bilik tengah yang separuh terbuka. Kotak-kotak kecil yang berisi buku-buku
dan barang peribadi tersusun rapi di sebelah meja di tengah-tengah bilik. Ampaian
kecil di bucu bilik yang biasanya dipenuhi pakaian kosong. Beberapa helaian
kertas berteraburan di atas lantai.
Pemandangan ini membawa memoriku kembali pada kisah lalu. Kali
pertama dia menghilangkan diri dulu, kertas-kertas berteraburan di atas lantai
seperti ini juga. Tiga hari dia tidak pulang ke rumah. Walaupun setiap
panggilanku berjawab alasan yang diberi adalah sama, dia terlalu sibuk di
klinik dan tiada masa untuk pulang.
Jarak antara kliniknya dan rumah kami hampir
45 minit. Jadi ini bukan kali pertama dia bermalam di kliniknya. Tapi ini kali
pertama dia langsung tidak menjejakkan kaki ke rumah selama tiga hari . Aku
membiarkan malam pertama dan malam kedua berlalu. Walau bagaimanapun apabila bayangnya tetap juga
tidak muncul di rumah pada malam ketiga aku mula curiga. Berkali-kali aku masuk
dan keluar daripada bilik studinya ini. Berkali-kali aku cuba mengambil dan
menyusun helaian kertas yang berteraburan di lantai tetapi setiap kali aku cuba
mencapai kertas-kertas putih itu, pergerakkanku terhenti. Akhirnya aku
mendukung Asyraf yang masih berada di dalam buaian lagi ketika itu, menaiki
kereta dan menuju ke Klinik Mahkota di Taman Delima 3.
Gelap. Gelap segelap gelapnya. Tiada satu pun lampu klinik
yang terbuka. Malah lampu bahagian luar bangunan itu pun tidak menyala. Spontan
aku mencapai ‘handphone’ dan menekan nama yang sedia ada di log panggilan.
“Assalamualaikum…” ujarku apabila talian di sebelah sana
dijawab.
“Waalaikumussalam…kenapa?” soalnya pantas.
“Awak kat mana?” soalku lambat-lambat,tahu bahawa jawapannya
akan menghiris hati ini buat sekian kalinya.
“Klinik. Sibuk sekarang. Esok balik.” Balasnya ringkas.
Kemudian hanya nada tut…tut…yang aku dengari. Aku terkedu. Malam itu, buat kali
pertamanya aku dan Asyraf bermalam di dalam kereta di pinggir jalan. Malam itu
buat kali pertamanya aku tidak tahu jalan untuk pulang.
Ting Tong! Sekali lagi loceng rumahku berbunyi. Berlari-lari
kecil aku turun tangga menuju ke pintu utama. Sempat aku menyelak lagsir tingkap
terlebih dahulu. Saleha! Saleha, bekas adik iparku. Senyuman kecil menghiasi
bibirnya sebaik sahaja aku membuka pintu pagar. ‘Akak ok?” soalnya. Aku hanya
tersenyum dan mengangguk kecil. Aku menjemputnya untuk masuk tetapi dia enggan.
Ada hal katanya. Dia hanya datang untuk menyerahkan beberapa barang peribadiku
yang aku minta dia simpan beberapa hari lalu. Sebaik sahaja dia pergi, aku
masuk ke dalam rumah dan meletakkan kotak merah sederhana besar itu di atas
meja. Kemudian aku merebahkan badan ke atas sofa panjang di ruang tamu.
Saleha….Saleha. Antara ipar-iparku, dialah yang banyak menyaksikan drama
kehidupan rumah tangga aku selama ini. Sejak mula hingga akhir. Walaupun dia
seorang yang pendiam dan suka menyendiri, tetapi di sebalik cermin mata itu ada
sepasang mata yang sentiasa memerhati dan menganalisa. Kadang kala apabila
emosi mula mengkhianati wajahku, dia orang pertama yang akan cuba menyelindungi
dan menjaga air mukaku. Dia adalah antara orang yang aku gemari selain daripada
ibu mentuaku.
Pertama kali aku mengenali suami adalah semasa kami berada
di kolej. Walaupun hampir dua tahun kami berada di dalam kelas yang sama tetapi
kelompok kawan-kawan kami berbeza. Dalam masa dua tahun tidak pernah sekalipun
kami berbual atau beramah mesra. Malah namanya pun aku tak tahu sehinggalah
kami terpaksa mengambil kelas ulangan apabila gagal dalam beberapa subjek di
universiti. Memandangkan hanya beberapa pelajar sahaja yang terpaksa memasuki
kelas ulangan, selama 3 tahun pengajianku selepas itu, aku sentiasa ditempatkan
di sebelah tempat duduknya kerana nombor giliranku adalah selepas nombor
gilirannya. Dalam keadaan sebegitu, biasanya ramai yang menemui cinta sejati
ataupun cinta kampus dan sebagainya, tetapi jujur aku katakan, aku dan dia
bagaikan dua hujung magnet yang berbeza.Pertama kali aku memahami perasaan
dibenci oleh orang yang tidak pernah aku kenali sebelumnya. Entah di mana silap
dan salahku, aku langsung tak tahu.
Dia seorang yang peramah, selalu bergurau
tawa dan bersenda dengan kawan-kawan….kecuali aku. Seingat aku, dia tidak
pernah sukakan aku. Setiap kali kami perlu berinteraksi tidak pernah sekalipun
dia memandang wajahku. Setiap kali kami perlu menyiapkan kerja berpasangan
entah berapa kali dia enggan menjadi partnerku. Ketika itu, aku tidak kisah
bagaimana sikapnya terhadapku. Aku sebenarnya malas untuk memikirkan tentang
manusia yang tidak menyukai aku. Apa yang penting sewaktu itu adalah untuk
menjadi diriku sendiri dan merasa gembira dengan diri sendiri. Selepas gradusi
kami ditempatkan di hospital yang berlainan. Selepas itu aku langsung tidak
tahu tentang perkembangan dirinya dan aku juga sebenarku tidak mahu ambil tahu.
Dia..tidak penting dalam hidupku.
Aku bangun dan mula mengeluarkn barang-barang darpada kotak
merah itu satu demi satu. Ada beberapa pasang baju yang sengaja aku tinggalkan
di rumah mentuaku sebab selalu juga aku dan asyraf bermlm di sana. Ada beberapa
buah buku dan…frame gambar. Aku mencapai frame gambar yang sudah kekuningan dan
pudar itu. Mesti emak yang memasukkan gambar ini ke dalam kotak. Aku tersenyum
kecil. Aku tahu betapa emak menghargai gambar ini tetapi mungkin mengenangkan
bagaimana aku sentiasa membelek dan menyukai gambar ini, dia memberikan gambar
ini kepadaku. Menurut emak gambar ini diambil dua hari selepas ibu melahirkan
aku. Ketika itu, menurut emak merupakan saat-saat yang sangat bahagia untuk
mereka berdua. Dan waktu itu juga mereka berjanji untuk menjodohkan aku dengan anak
yang masih lagi berada di dalam kandungan emak ketika itu. Iya…bayi yang berada
dalam kandungan emak ketika itu adalah bekas suamiku.
Sebaik sahaja aku tahu bahawa dia adalah jodoh yang dicari
oleh arwah ibu, aku mula merasa kurang senang. Tetapi mengenangkan betapa arwah
ibu sangat mementingkan persahabatannya dengan ibu mentuaku, aku hanya pasrah.
Waktu itu, hanya ayah yang membantah. Katanya, Syahrizal tidak benar-benar
menyukai diriku. Dia tidak ingin melihat aku bagai melukut di tepi gantang apabila
aku mengahwini lelaki itu nanti. Waktu itu aku hanya tersenyum, kagum dengan
pemerhatian ayah tetapi aku juga tiada pilihan. Ini adalah harapan terakhir
arwah ibu. Amanat ibu kepadaku sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
beberapa tahun sebelum itu.
Di awal pertunangan kami, dia menerimaku tanpa banyak soal.
Permintaan ibu bapa katanya. Tapi tiada apa yang berubah. Layanannya terhadapku
masih lagi sama seperti dulu. Sebaik sahaja berumah tangga aku cuba sedaya
upaya untuk melayaninya sebaik yang mungkin. Aku tersenyum, cuba untuk bertanya
tentang aktiviti sehariannya, memasak makanan kegemarannya tetapi usahaku
seolah-olah bagai mencurah air ke pasir. Setiap hari aku hidup bagai menghela
rambut dalam tepung. Aku hidup, bergerak dan bernyawa tetapi ketika itu aku
seolah-olah lemas dalam lautan yang dalam. Takut untuk mmenghela nafas yang
panjang, risau rumah yang baru dibina akan runtuh begitu sahaja. Ku pendam
perasaan kecewa di dalam hati. Usia perkahwinan kami masih muda. Kalau aku
tersungkur di kala ini, aku mungkin akan gagal selama-lamanya.
Di kala aku hampir lemas, berita tentang adanya satu nyawa
yang sedang membesar di dalam rahimku menyelamatkan aku. Waktu itu aku
benar-benar gembira. Hidup yang kelihatan gelap dan hambar sebelum ini
seolah-olah diterangi chahaya yang sangat terang. Aku mula ada arah tuju dan
matlamat yang ingin ku capai. Untuk melindungi dan membahagiakan anak kecil
ini.
Selepas habis memeriksa barang-barang di dalam kotak, aku
bangun dan menuju ke arah meja di sebelah almari hiasan. Gambar lama itu, aku
tempatkan di situ bersama beberapa keping gambar yang lain. Teringatkan
sesuatu, aku pun membuka laci kiri almari hiasan. Terpampang gambar perkahwinan
yang sudah lama aku tinggalkan di situ. Mungkin sudah masanya untuk aku buang
gambar-gambar ini. Tidak ada maknanya lagi untuk terus disimpan di sini. Jari
jemariku mengusap gambar itu perlahan-lahan. Wajah wanita dalam baju pengantin
ungu muda yang tersenyum manis itu seorah-olah merenung dan mencabarku kembali.
Di mana kebahagiaan yang aku kata aku akan capai suatu hari nanti? Di mana ego
dan maruah menggunung yang mengatakan bahawa aku akan terus kuat menghadapi
onak dan duri perkahwinan ini? Di mana wanita yang dulunya bertenaga, sentiasa
positif menghadapi cabaran dan suka tersenyum itu pergi? Aku melihat raut
wajahku di muka cermin yang tergantung di dinding. 15 tahun sudah berlalu, yang
tinggal hanyalah garis-garis kedut yang mula muncul di wajahku. Yang tinggal
hanyalah kesepian yang menemaniku kini. 15 tahun……
Tahun pertama perkahwinanku, aku mengharapkan cinta, tahun
kedua aku mengharapkan belas kasihan dan tahun ketiga aku mengharap untuk dia
menatap wajahku, memandang anak mataku dan mendengar keluhan hatiku. Tapi
hampa, aku seolah-olah angin petang yang datang menyapa, ada atau tiada tidak
memberi apa-apa makna dalam hidupnya.
Entah sejak bila, dia tidak penting lagi buatku.
Kegembiraannya bukan lagi kegembiraanku. Kesedihannya tidak menyakiti hatiku. Kekecewaannya
dan kehidupannya bukan sebahagian daripada kehidupanku lagi. Mungkin ketika
kali pertama aku menatap wajah putih bersih wanita itu di kliniknya dulu?
Kali pertama bersua muka, ku lihat jari-jemari yang masih
lagi merah dihiasi inai, wajah yang tersenyum manis menggambarkan seribu
kebahagiaan. Suara lunaknya lembut kedengaran bertanya sama ada, adakah ini
kali pertama aku datang ke klinik ini. Mesra dia meminta kad pengenalanku untuk
membuat pendaftaran kad pesakit. Waktu itu aku hanya mampu tersenyum dan
memandangnya diam. Tanpa aku sedari ketawa kecil keluar dari bibirku. Tawaku
semakin menjadi-jadi. Saleha yang berada di sebelahku ketika itu memaut
lenganku kuat. Wajahnya penuh dengan seribu kerisauan. Wajah manis itu juga
hilang senyumannya, memandang diriku dengan seribu persoalan. Mungkin terkejut
melihat wanita dihadapannya tidak dapat berhenti ketawa dengan air mata yang
rabak jatuh ke pipi. Mungkin bersimpati melihat keadaanku yang seperti kurang
siuman. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan menarik Saleha keluar
dari situ.
Petang itu seperti biasa, aku menjemput Asyraf daripada
pusat asuhan. Masuk ke dapur dan menyediakan makan malam untuk suamiku. Malam
itu, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah, dia memandangku tajam. Aku
hanya diam dan selamba menghidangkan makanan di atas meja. Seperti biasa aku
memintanya membersihkan diri dan bersolat sebelum makan. Malam itu tidak ada
apa-apa yang berbeza. Malam ini sama seperti malam-malam yang lain.
“Awak ada datang klinik saya ke tadi” soalnya tiba-tiba
semasa kami makan malam. Aku tersenyum kecil. Jarang mendengar dia mengemukakan
soalan kepadaku terlebih dahulu.
“Tak ada. Kenapa?” soalku kembali. Dia hanya menggelengkan
kepala dan meneruskan suapan yang terhenti sebentar tadi. Entahlah, sama ada
dia percaya atau tidak aku tidak peduli. Selepas beberapa ketika mendiamkan
diri aku bersuara kembali.
“Ada awak simpan gambar saya atau Asyraf di klinik?” soalku.
Dia menggeleng.
“Dalam handphone?” soalku lagi. Lambat-lambat dia memandang
ke arahku. Mungkin pelik mendengar soalanku sebentar tadi.
“Ada dua , tiga gambar Asyraf…” balasnya mendatar. Aku
mengangguk lagi. Ah, nampaknya aku hanyalah ibarat batu di tepi jalan untuk
dirinya.
“Kenapa?” soalnya.
Aku menghembuskan nafas panjang dan tersenyum kecil.
“Saja….nak tahu. Mesti ramai kawan-kawan awak tak kenal saya
kan? Saya tak pernah pergi ke klinik awak dan awak jarang ajak kawan-kawan awk
ke sini kan...” balasku kembali. 'Dan mesti isteri baru awak pun tak kenal saya kan?' bisik hatiku. Dia hanya meneruskan suapannya diam.
Dan aku, terus-terusan aku memandang dirinya yang sedang
ralit makan. Apa yang berbeza? Tiada apa-apa yang berbeza. Apa yang sama? Itu
pun tiada apa-apa yang sama. Dia dan kehidupannya dan aku dengan kehidupanku.
Bukankah sejak dulu lagi rumah tanggaku adalah begini?
Aku mengeluarkan gambar-gambar tersebut dan memasukkannya ke
dalam plastic hitam. Esok aku akan buang gambar-gambar ini ke dalam tong sampah
di kawasan kejirananku. Tiada maknanya untuk aku terus menyimpan gambar-gambar
ini. Perkahwinanku selama 15 tahun hanyalah mimpiku semata-mata. Realitinya,
pertalian itu tidak pernah wujud. Dan Asyraf, aku tahu Asyraf akan memahami
hati ibunya ini.
Selesai mengikat dan meletakkan plastic hitam itu di muka
pintu, aku menggeliat kecil. Ah…aku benar-benar mengantuk. Malas rasanya untuk
menggerakkan badan dan masuk ke bilik. Aku rebahkan badanku ke atas sofa
panjang itu sekali lagi. Mataku dipejamkan dan malam itu aku terlena di ruang
tamu diulit mimpi tentang peristiwa yang berlaku lama dulu.
Hari itu, matahari yang cerah dan angin yang bertiup nyaman
seolah-olah turut bersamaku menyambut hari ulang tahun kelahiran Asyraf yang
ke-enam. Aku membawanya ke KFC seperti yang aku janjikan seminggu sebelum itu.
Gembira betul Asyraf, maklumlah sejak kebelakangan ini aku terlalu sibuk di
hospital dan jarang meluangkan masa dengannya. Ketawa riang anak kecil itu,
apabila pekerja KFC mengeluarkan sebiji kek kecik ‘Angry Bird’ yang
digemarinya. Hari itu belum sempat Asyraf meniup lilin kek hari jadinya, pantas
aku menarik tubuh kecil itu dan mendukungnya keluar dari KFC. Aku berlari-lari
tergopoh gapah seperti dikejar hantu hantu sambil memeluk Asyraf dan melindungi
wajahnya di dadaku. Puteraku! Puteraku! Putera kesayanganku.
“Kenapa ni ibu?” soal Asyraf bertalu-lalu. Aku memandang
sekilas ke arah sebuah keluarga bahagia yang sedang mengambil tempat duduk di
satu penjuru KFC tersebut. Puteraku…putera kesayanganku. Aku enggan dia melihat
bagaimana budak perepuan kecil itu didukung dan dicium mesra oleh bapanya. Aku
enggan dia melihat bagaimana ibu budak perempuan dirangkul mesra oleh suaminya.
Aku enggan dia melihat betapa bahagianya keluarga itu. Biar aku menderita, biar
aku sengsara, tetapi tidak akan sekali-kali aku membiarkan puteraku berduka.
Miss Z, Januari
No comments:
Post a Comment