11/12/15-8.30 p.m.- Asyraf Zayid
“Sayang…” kedengaran suara ibu perlahan di corong telefon.
Aku mengerutkan dahi. Hatiku mula rasa tidak senang. Selalu saja ibu
memanggilku dengan gelaran sayang, tetapi intonasi ibu kali ini agak berbeza
daripada biasa.
“Hmm…kenapa ibu?” soalku kembali. Lama ibu mendiamkan diri.
Aku mendengar hembusan nafas halus di hujung talian sebelum ibu bersuara lagi.
“Sayang..” kali ini suara ibu jelas kedengaran. “Ibu dengan abah dah sah bercerai. Petang tadi abah sah ceraikan ibu kat mahkamah.”
Aku diam sebentar. Cuba memahami apa yang ibu katakan. Cuba untuk merasa kekecewaan ataupun kesedihan yang sepatutnya datang menyapa. Tapi aku tidak merasai apa-apa.
“Ibu okay?” balasku. Risau juga dengan keadaan ibu sekarang. Nak-nak ibu hanya keseorangan di rumah.
“Haah. Ibu ok…Asyraf?” soal ibu kembali.
Aku tersenyum kecil. “Ibu....ibu…yang bercerai bukannya Asyraf tetapi ibu. Kalau ibu ok…Aysraf pun ok.” balasku kembali. Ibu ketawa kecil di hujung talian. Aku pasti pada waktu ini pasti ibu sedang mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Ibu yang minta cerai. Macam mana pulak ibu yang tak ok. Ibu ok je kat sini. Cuma ibu risaukan Asyraf aje. Ibu tak nak Asyraf fikir yang bukan-bukan kat sana. Ibu nak anak ibu belajar rajin-rajin untuk kesenangan diri sendiri nanti….ok sayang.” Balas ibu lagi sentiasa mengulang nasihatnya kepada diriku. Aku menganggukan kepala perlahan.
“Haah, InsyaAllah” balasku. Ibu mula mengalih topik, bercakap tentang diriku, apa yang aku buat pada hari ini, bertanya tentang makanan di sini sama ada memenuhi seleraku atau tidak sama seperti hari-hari yang lain. Sekali pun kami tidak menyebut nama abah lagi. Setelah beberapa minit melayan pertanyaan ibu, aku mematikan talian.
Bercerai….hmm…Ini kali pertama aku mendengar perkataan cerai keluar daripada mulut ibu.
Aku mengambil kembali pen yang terbiar di sisi meja. Ingin
meyambung kembali latihan matematik yang terbengkalai sebentar tadi. Tanpa aku
sedari sebuah keluhan kecil keluar dari bibirku. Aku memandang buku latihan
matematik itu kosong. Hilang keinginan untuk menyiapkan beberapa soalan lagi
yng tidak kujawab. Entahlah.Dah lama aku menjangka perkara ini akan berlaku,
tapi aku tak sangka pulak yang ibu langsung tidak memberi amaran kepadaku terlebih
dahulu. Ibu…ibu… Hmm… sekali lagi aku
menghembuskan keluhan kecil.
Ibu yang aku kenali, sama seperti ibu-ibu yang lain. Ibu sangat-sangat menyayangiku. Selalu mendahulukan diriku walaupun kadang-kala kerja-kerja di hospital sangat memenatkan. Ibu selalu tersenyum dan ketawa apabila bercerita tentang kisah pak pandir atau pun kisah si labu-labi setiap kali sebelum aku tidur, selalu memastikan makan dan minum aku terjaga. Walaupun boleh dikatakan aku membesar di rumah asuhan, setiap hari ibu tidak lupa untuk memastikan dia sentiasa berkomunikasi dengan diriku.
Dan abah.....sewaktu aku kecil aku masih ingat lagi abah melayan kerenahku. Bercerita itu dan ini dan membuatku ketawa. Tapi entah sejak bila aku mula menyedari yang abah mula kurang meluangkan masanya bersama aku dan ibu. Setiapa kali aku bertanya, alasan ibu adalah abah sibuk menguruskan Kliniknya di taman Alam Mahkota. Klinik itu merupakan Klinik peninggalan arwah atuk ku dahulu dan sekarang diuruskan oleh abah dan bapa saudaraku.
Pada awalnya aku menerima sahaja alasan yang diberikan oleh
ibu, tetapi apabila usiaku makin meningkat dan aku mula bergaul dengan kawan-kawanku
di sekolah, aku mula sedar bahawa hubungan ibu dan abah bukan seperti hubungan
ibu-bapa yang lain. Abah selalu tersenyum apabila berada bersama ku. Tetapi
abah yang aku kenali berbeza sekali apabila bersama-sama dengan ibu. Sepanjang
hidupku selama 14 tahun ini tidak pernah sekali pun aku melihat ibu dan abah
bergurau senda, ketawa bersama-sama sama seperti ibu bapa yang lain. Seperti
biasa, ibu akan memasak dan menghidangkan makanan di atas meja dan menemani
abah makan. Kadang kala ibu akan bersuara bertanyakan sesuatau kepada abah
tetapi kebanyakannya adalah hal-hal yang penting sahaja. Dan abah seperti biasa
akan duduk di meja makan dan menjawab persoalan ibu dengan sepatah dua kata
tanpa pernah sekalipun menatap wajah ibu lebih dari 2 saat. Dan aku, aku yang
dahulunya suka berceloteh itu dan ini tanpa menyedari ketegangan yang ada
antara dua manusia yang berada di hadapanku ini mula merasai ketegangan
tersebut. Setiap kali abah berada di rumah, dia lebih suka menghabiskan masa di
bilik ‘studinya’ dan ibu pula melayan drama di ruang tamu seperti dua orang
asing yang tidak pernah kenal antara satu sama yang lain.
Aku melontarkan kembali pen yang berada di tanganku ke sisi meja. Buku Latihan matematik aku tutup kasar. Firdaus, kawan sebilikku memandang diriku pelik.
“Dah siap dah homework” soalnya apabila melihat diriku
menuju ke arah lokar makanan dan mencapai sebotol air mineral. Aku
menggeleng-gelengkan kepala kemudian meneguk air dari botol mineral di tangan.
Firdaus mula tersenyum nakal. “Kenapa? Anak ibu rindu kat ibu ke? Bukan lepas bru bercakap dengan ibu ke?” dia mula mengusik. Siapa yang tidak tahu, aku sangat manja dengan ibuku. Malah apabila aku mula-mula tinggal di asrama ini, hampir setiap minggu ibu akan datang menaiki kapal terbang semata-mata untuk berjumpa denganku. Aku menjeling kasar kearah Firdaus sebelum merebahkan diri ke atas katil. Firdaus hanya mengangkat bahunya dan menyambung kembali kerjanya sebentar tadi.
“Ibu dan abah aku dah bercerai.” Ujarku perlahan sambal memandang kipas siling yang berputar. Kedengran bunyi dari kerusi Firdaus bekeriuk yang menandakan Firdaus memandang ke arahku dengan segera.
“Petang tadi. Kat mahkamah.” sambungku tanpa menunggu apa-apa reaksi daripada Firdaus. Aku dapat membayangkan wajahnya yang berkerut-kerut ketika itu.
“Apa yang jadi? Engkau ok ke?” soal Firdaus bertalu-talu.
“Aku ok je…Cuma aku risaukan ibu aku. Aku tak tahu apa yang dia rasa waktu ni.” Balasku kembali. Firdaus hanya membisu. Mungkin tidak tahu apa yang patut dikatakan. Lama dia mendiamkan diri sebelum dia bersuara.
“Aku pasti ibu kau ok…Ibu engkau seorang yang kuat Asyraf.”ujarnya perlahan utuk menyedapkan hatiku. Aku hanya mengangguk kecil. Ibu…ibu….
Ibu yang selalu tersenyum dan tidak pernah sekalipun mengalirkan air mata dihadapanku. Tidak kira lah apa yang berlaku. Setiap kali abah tidak menghiraukan soalannya, ataupun setiap kali abah hanya mengangguk dan menumpukan perhatian pada skrin computer atau kertas kerjanya, ibu tidak pernah meluahkan perasaan marah. Ibu yang hanya tersenyum walaupun jelas tiada kegembiraan dalam senyuman ibu.
Dulu aku ingat kebisuan abah adalah kerana personalitinya. Salah seorang pekerja lelaki di pusat asuhanku pun seperti itu. Kurang bercakap dan sentiasa menunjukkan wajah yang tegang. Menurut Kak Lina, pengasuh upahan aku dahulu ramai sahaja lelaki yang dikenalinya mempunyai personaliti seperti itu. Lelaki tidak banyak bercakap seperti perempuan dan lelaki tidak tahu menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada orang lain. Sewaktu itu hanya Kak Lina yang sentiasa bersama-samaku selain daripada ibu dan aku benar-benar mempercayainya sehingga hari itu. Hari yang benar-benar membuka mataku seluas-luasnya.
Ketika itu aku berusia 10 tahun. Seperti biasa pada hari itu aku menunggu kehadiran ibu untuk mengambilku pulang daripada kelas agama. Tapi nampaknya ibu agak lewat kerana jam sudah menginjak ke pukul enam petang. Aku mula berkira-kira untuk menelefon ibu apabila aku melihat kereta nenek berhenti di perkarangan pintu pagar sekolah agamaku. Berlari-lari aku menuju ke kereta dan memeluk nenek. Menurut nenek, ibu tidak dapat mengambilku pada hari itu kerana urusan penting dan aku akan tinggal di rumah nenek buat beberapa hari. Aku mengangguk.
Selalu sahaja aku dan ibu bermalam di rumah nenek. Malah
ketika ibu terpaksa menghadiri seminar beberapa kali sebelum ini, aku memang
sentiasa bermalam di rumah nenek. Nenek dan ibu sangat rapat antara satu sama
lain. Bak kata Mak cik Leha, antara dia dan ibu seolah-olah dia adalah menantu
dan ibu adalah anak kandung nenek. Setiap kali ibu dan nenek mendengar ucapan
Mak Cik Leha, mereka hanya ketawa kuat.
Usai sahaja makan malam, nenek bergegas-gegas bersiap. Nak ke masjid katanya kerana ada ceramah daripada ustazah kegemarannya. Jadi aku hanya ditinggalkan di rumah bersama mak cik Leha. Seperti biasa, selesai makan malam mak cik Leha akan berkurung di dalam biliknya. Apa yang dia buat entahlah, aku tidak tahu. Kebosanan, aku berjalan masuk ke dalam bilik yang disediakan khas untuk aku dan ibu setiap kali kami bermalam di sini. TV kecil yang berada di penjuru bilik itu aku buka dan aku mula menonton rancangan kartun kegemaranku. Tidak beberapa lama kemuadian, aku mula mendengar bunyi bising di ruang tamu. Bunyi seperti bayi mengangis dan juga suara abah. Abah datang ke? Nak tidur di sini dengan aku? Aku mula tersenyum lebar dan berlari-lari turun untuk menuju ke ruang tamu.
Tiba-tiba langkahku terhenti di ruang tangga. Aku melihat abah ketawa kuat sambil memeluk dan mencium dahi seorang wanita asing di ruang tamu. Wanita itu tengah duduk dan dipangkuannya ada seorang bayi kecil yang tengah menangis perlahan.
“Abah! Abah!...Mama!...Mama!” ujar seorang kanak-kanak perempuan yang tiba-tiba berlari-lari ke arah abah dan memeluk betisnya erat.
“Mak cik Leha kata..nenek tak ada. Pergi masjid.”ujarya sedikit pelat.
“Tak de…”balas abah sambil mendukung budak perempuan tersebut dan melabuhkan punggung di sebelah wanita tadi.
“Kalau nenek tak ada. Tak apa lah. Jom kita duduk tengok TV kat sini dulu…”balas abah dengan senyuman luas sampai ke pipi. Kali pertama aku melihat wajah abah segembira dan ketawa seperti itu. Dan kali pertama aku melihat abah memeluk bahu seorang wanita dah bercakap ramah mesra seperti itu. Aku ingin berlari dan memaut tubuh abah. Aku ingin menjerit dan bertanya kepadanya siapa wanita dan kanak-kanak kecil dipangkuannya itu. Tetapi tiba-tiba wajah suram ibu terbayang di ruang mataku. Senyuman hambarnya seolah-olah tidak mahu padam daripada ingatanku.
Perlahan-lahan aku mengundur diri dan masuk ke bilikku. Malam itu berkali-kali aku menelefon ibu. Aku ingin memberitahu ibu tentang apa yang kulihat sebentar tadi. Aku ingin memberitahu abah yang ku kenali dan abah yang ku lihat sebentar tadi amat berbeza. Aku ingin bertanya sama ada ibu tahu siapakah mereka. tetapi talian telefon ibu tetap tidak berjawab pada malam itu.
“Woi, bro! Jom pegi supper.” ajak Firdaus sambil menepuk bahuku kuat. Aku mengangguk kecil dan mengekorinya keluar dari bilik untuk ke dewan makan. Aku tahu perihal ibu bapaku masih lagi bermain-main di fikiran Firdaus, tetapi kawanku ini sangat menhormati perasaanku. Selagi aku tidak membuka mulut dengan sedirinya, selagi itu dia tidak akan memaksa aku bercakap tetang perkara itu.
“Sebelum tu engkau nak lumba lari kat school compound tak…sapa pusing satu round dulu dan sampai kat dewan makan menang. Yang kalah kena belanja nasi lemak koop dengan coffe latte. Apamacam? Ok eh?” soal Firdaus sambil tersenyum lebar menampakkan giginya yang keputihan itu. Sebaik sahaja sampai kiraan tiga kami mula memecut, aku mula perasan laju semacam sahaja kawanku ini memulakan larian apabila sahaja dia memintasku. Secara kebetulan mataku memandang ke arah kakinya.
“Lahabau…punya kawan!!!” aku menjerit kuat. “Mana aci engkau pakai kasut sukan, aku pakai selipar jepun ni! Hampeh!!!” jeritku lagi sambil mengekori Firdaus yang sudah jauh berlari di hadapannya. Tiba-tiba segala keresahan yang bermukim di dalam hati ku sebentar tadi hilang begitu sahaja. Sepenuh daya aku mengejar sahabat karibku yang bertuah itu.
No comments:
Post a Comment