Thursday, January 7, 2016

Cerpen : Penghujung (Part 2)



11/12/15- 8.30 p.m.- Hasmah Zainab

“Sayang jaga diri baik-baik eh? Nanti kalau ada kelapangan dua-tiga minggu lagi ibu pergi sana ok?” ujarku kepada satu-satunya anak tunggalku itu. Risau juga duduk berjauhan dengan buah hatiku itu walaupun ini sudah masuk tahun kedua dia duduk di asrama. Betul kata orang walaupun sudah tua dan beruban, seorang anak tetap bergelar anak di hati ibu bapa. Tidak kiralah setua mana pun usianya.

“Haah, Insya Allah. Ibu pun jangan lupa jaga diri elok-elok.ok?” balasnya. Aku tersenyum kecil. Gembira menyedari bahawa dalam dunia ini masih ada insan yang benar-benar menyayangi dan menghargai diriku.

“ Ye…ye…Ibu tahu.”tingkahku kembali. Kedengaran jejaka terunaku itu ketawa kecil.

“Oklah ibu. Nanti Asyraf call lagi. Sayang ibu!”jeritnya perlahan di hujung talian. Makin lebar senyuman di bibirku mendengar ucapannya itu.

“Ye sayang…sayang Asyraf jugak! Bye. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”balas asyraf kembali. Aku pun mematikan talian. Asyraf…asyraf. Aku spontan memandang gambarku dan anak terunaku itu yang tergantung di dinding kamar tidurku. Senyuman manisnya benar-benar menenangkan jiwaku.

“Sayang…sayang” perlahan bibirku memanggil dirinya. Kalaulah Asyraf tak ada di sisi ibu selama ini, ibu rasa dah lama ibu jadi gila. Asyraf yang menjadi kekuatan ibu. Asyraf lah senyuman ibu dan cinta di hati ini. Bila ibu peluk Asyraf ibu gembira. Bila ibu pandang wajah Astraf ibu tersenyum dan sekarang walaupun dalam hati ibu penuh ombak dan gelora, sebaik sahaja ibu dengar suara anak kesayangan ibu ni, hati ibu mula tenang.

“Terima kasih sayang” ucapku lagi sambil menatap wajahnya. Tanpa kusedari titisan air mata yang enggan jatuh sejak tengah hari tadi akhirnya jatuh berteraburan di pipi.

Sembilan bulan yang lalu ketika aku tengah sibuk bertugas di Unit Rawatan Pesakit Luar, aku menerima panggilan daripada Saleha menangis-nangis mengatakan ibu mentuaku mengalami serangan jantung. Bergegas-gegas aku meminta seorang MO yang berada di situ untuk memaklumkan Dr. Faridah dan memintanya menggantikan diriku buat sementara waktu. Sebaik sahaja aku tiba di wad kecemasan emak telah dipindahkan ke unit rawatan rapi. Aku benar-benar risau kerana ini adalah kali ketiga emak mengalami serangan jantung pada tahun ini. Setelah memastikan keadaan ibu mentuaku stabil aku mula berjalan menuju ke arah kawasan menunggu untuk menenangkan adik iparku itu. Langkahku terhenti seketika apabila melihat wajah-wajah yang tidak ingin aku jumpai ada di situ bersama Saleha, tetapi apabila mengingatkan bahawa wanita yang terlantar di ICU itu adalah ibu mereka, aku gagahkan juga kakiku untuk terus melangkah.

“Mak macam mana?” soal Shah kasar. Aku memandang ke arahnya sekilas. Nak tanya ke nak cari gaduh ni? Kalau ye pun tak suka, salah ke kalau bertanya elok-elok? Ingin sahaja aku berkasar dengannya kembali tetapi pada masa ini aku benar-benar tiada kemahuan untuk berbuat begitu. Tangan putih gebu yang erat memaut lengannya itu tidak terlepas daripada pandanganku. Aku tahu milik siapa jari jemari tersebut tapi pada waktu ini aku benar-benar tidak ada tenaga untuk berhadapan dengan kedua-duanya.  

Aku mencapai tangan Saleha yang masih lagi tersedu-sedu. Air mata masih berlinangan di hujung matanya.

“Mak dah ok sekarang. Dia stabil” aku memberitahu saleha. “ Jangan risau, dia dah sedar sikit tadi tapi doctor masih lagi nak monitor keadaan mak. Ok?” sambungku lagi memujuk. aku menggosok-gosok tangan Saleha perlahan. Langsung tidak mengindahkan dua orang manusia yang berada di sebelahku.

“Boleh abang masuk tengok sekarang?” soal Syukri, abang iparku. Aku menggeleng perlahan.
“Saya rasa sekarang tak boleh lagi. Doktor masih nak tengok keadaan dia sekarang. Along kenal Dr. Lin kan? Dr. Lin Chow Min. Nanti dia keluar along tanya dia. Dia yang ‘in charge’ sekarang.”balasku lagi.

Syukri hanya mengangguk perlahan. Mengerti yang aku hanya boleh melihat keadaan emak dan memaklumkan kepada mereka sahaja. Tiada apa lagi yang aku boleh lakukan ketika ini. Aku segera meminta diri daripada adik-beradik iparku. Mereka sedar bahawa aku tidak selesa untuk bersama-sama mereka di situ lantas mereka hanya mengangguk dan tersenyum. Laju aku melangkah pergi dari situ.

“Asmah….asmah…mak lepaskan Asmah. Kalau Asmah…nak terbang pergi pun…mak lepaskan Asmah sekarang. Dah 15 tahun berlalu…..dah lama mak kurung Asmah dalam penjara yang gelap ni. Maafkan mak…”

Suara emak ketika melihat wajahku sebentar tadi terngiang-ngiang di telingaku. Hatiku yang selama ini keras membeku mula mencair sedikit demi sedikit. Dah tiba ke masa untuk aku membebaskan diri daripada penjara yang tak berjeriji ni? Boleh ke Asmah pergi mak? Betul ke mak maksudkan apa yabg mak beritahu Asmah tadi?

“Ibu” aku menyebut perlahan wanita yang aku rindui sejak dulu lagi. Ibu…boleh ke Asmah tumaikan keiinginan Asmah selama ini? Aku memandang langit yang biru. Mengharapkan sesuatu. Mengharapkan ada suara yang mengjawab jeritan hatiku. Namun apa yang aku dengari hanyalah kesibukan manusia-manusia yang berada di sekelilinggku sahaja.

Aku memandang ke setiap penjuru bilik tidurku. Tiada apa yang perlu diubah. Tiada gambar aku dan bekas suami untuk disimpan, tiada baju mahupun tualanya yang perlu dikemas, tiada buku-buku ataupun kertas kerjanya yang terselit di mana-mana. Aku mengeluh kecil. Entah bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke dalam bilik ni? Entahlah aku pun tak ingat. Setahun? Dua tahun? Mungkin lebih dari itu.

Ting Tong! Bunyi loceng rumah mengejutkan aku daripada lamunan. Siapalah yang datang malam-malam buta ni. Sekilas aku memeriksa telefon bimbitku takut-takut ada mesej ataupun panggilan yang aku tak jawab sebentar tadi. Hmm…tiada apa-apa.

Dalam perjalanan untuk menuju ke muka pintu, aku terpandang pintu bilik tengah yang separuh terbuka. Kotak-kotak kecil yang berisi buku-buku dan barang peribadi tersusun rapi di sebelah meja di tengah-tengah bilik. Ampaian kecil di bucu bilik yang biasanya dipenuhi pakaian kosong. Beberapa helaian kertas berteraburan di atas lantai.

Pemandangan ini membawa memoriku kembali pada kisah lalu. Kali pertama dia menghilangkan diri dulu, kertas-kertas berteraburan di atas lantai seperti ini juga. Tiga hari dia tidak pulang ke rumah. Walaupun setiap panggilanku berjawab alasan yang diberi adalah sama, dia terlalu sibuk di klinik dan tiada masa untuk pulang.

Jarak antara kliniknya dan rumah kami hampir 45 minit. Jadi ini bukan kali pertama dia bermalam di kliniknya. Tapi ini kali pertama dia langsung tidak menjejakkan kaki ke rumah selama tiga hari . Aku membiarkan malam pertama dan malam kedua berlalu.  Walau bagaimanapun apabila bayangnya tetap juga tidak muncul di rumah pada malam ketiga aku mula curiga. Berkali-kali aku masuk dan keluar daripada bilik studinya ini. Berkali-kali aku cuba mengambil dan menyusun helaian kertas yang berteraburan di lantai tetapi setiap kali aku cuba mencapai kertas-kertas putih itu, pergerakkanku terhenti. Akhirnya aku mendukung Asyraf yang masih berada di dalam buaian lagi ketika itu, menaiki kereta dan menuju ke Klinik Mahkota di Taman Delima 3.

Gelap. Gelap segelap gelapnya. Tiada satu pun lampu klinik yang terbuka. Malah lampu bahagian luar bangunan itu pun tidak menyala. Spontan aku mencapai ‘handphone’ dan menekan nama yang sedia ada di log panggilan.

“Assalamualaikum…” ujarku apabila talian di sebelah sana dijawab.

“Waalaikumussalam…kenapa?” soalnya pantas.

“Awak kat mana?” soalku lambat-lambat,tahu bahawa jawapannya akan menghiris hati ini buat sekian kalinya.

“Klinik. Sibuk sekarang. Esok balik.” Balasnya ringkas. Kemudian hanya nada tut…tut…yang aku dengari. Aku terkedu. Malam itu, buat kali pertamanya aku dan Asyraf bermalam di dalam kereta di pinggir jalan. Malam itu buat kali pertamanya aku tidak tahu jalan untuk pulang.

Ting Tong! Sekali lagi loceng rumahku berbunyi. Berlari-lari kecil aku turun tangga menuju ke pintu utama. Sempat aku menyelak lagsir tingkap terlebih dahulu. Saleha! Saleha, bekas adik iparku. Senyuman kecil menghiasi bibirnya sebaik sahaja aku membuka pintu pagar. ‘Akak ok?” soalnya. Aku hanya tersenyum dan mengangguk kecil. Aku menjemputnya untuk masuk tetapi dia enggan. Ada hal katanya. Dia hanya datang untuk menyerahkan beberapa barang peribadiku yang aku minta dia simpan beberapa hari lalu. Sebaik sahaja dia pergi, aku masuk ke dalam rumah dan meletakkan kotak merah sederhana besar itu di atas meja. Kemudian aku merebahkan badan ke atas sofa panjang di ruang tamu. Saleha….Saleha. Antara ipar-iparku, dialah yang banyak menyaksikan drama kehidupan rumah tangga aku selama ini. Sejak mula hingga akhir. Walaupun dia seorang yang pendiam dan suka menyendiri, tetapi di sebalik cermin mata itu ada sepasang mata yang sentiasa memerhati dan menganalisa. Kadang kala apabila emosi mula mengkhianati wajahku, dia orang pertama yang akan cuba menyelindungi dan menjaga air mukaku. Dia adalah antara orang yang aku gemari selain daripada ibu mentuaku.

Pertama kali aku mengenali suami adalah semasa kami berada di kolej. Walaupun hampir dua tahun kami berada di dalam kelas yang sama tetapi kelompok kawan-kawan kami berbeza. Dalam masa dua tahun tidak pernah sekalipun kami berbual atau beramah mesra. Malah namanya pun aku tak tahu sehinggalah kami terpaksa mengambil kelas ulangan apabila gagal dalam beberapa subjek di universiti. Memandangkan hanya beberapa pelajar sahaja yang terpaksa memasuki kelas ulangan, selama 3 tahun pengajianku selepas itu, aku sentiasa ditempatkan di sebelah tempat duduknya kerana nombor giliranku adalah selepas nombor gilirannya. Dalam keadaan sebegitu, biasanya ramai yang menemui cinta sejati ataupun cinta kampus dan sebagainya, tetapi jujur aku katakan, aku dan dia bagaikan dua hujung magnet yang berbeza.Pertama kali aku memahami perasaan dibenci oleh orang yang tidak pernah aku kenali sebelumnya. Entah di mana silap dan salahku, aku langsung tak tahu. 

Dia seorang yang peramah, selalu bergurau tawa dan bersenda dengan kawan-kawan….kecuali aku. Seingat aku, dia tidak pernah sukakan aku. Setiap kali kami perlu berinteraksi tidak pernah sekalipun dia memandang wajahku. Setiap kali kami perlu menyiapkan kerja berpasangan entah berapa kali dia enggan menjadi partnerku. Ketika itu, aku tidak kisah bagaimana sikapnya terhadapku. Aku sebenarnya malas untuk memikirkan tentang manusia yang tidak menyukai aku. Apa yang penting sewaktu itu adalah untuk menjadi diriku sendiri dan merasa gembira dengan diri sendiri. Selepas gradusi kami ditempatkan di hospital yang berlainan. Selepas itu aku langsung tidak tahu tentang perkembangan dirinya dan aku juga sebenarku tidak mahu ambil tahu. Dia..tidak penting dalam hidupku.

Aku bangun dan mula mengeluarkn barang-barang darpada kotak merah itu satu demi satu. Ada beberapa pasang baju yang sengaja aku tinggalkan di rumah mentuaku sebab selalu juga aku dan asyraf bermlm di sana. Ada beberapa buah buku dan…frame gambar. Aku mencapai frame gambar yang sudah kekuningan dan pudar itu. Mesti emak yang memasukkan gambar ini ke dalam kotak. Aku tersenyum kecil. Aku tahu betapa emak menghargai gambar ini tetapi mungkin mengenangkan bagaimana aku sentiasa membelek dan menyukai gambar ini, dia memberikan gambar ini kepadaku. Menurut emak gambar ini diambil dua hari selepas ibu melahirkan aku. Ketika itu, menurut emak merupakan saat-saat yang sangat bahagia untuk mereka berdua. Dan waktu itu juga mereka berjanji untuk menjodohkan aku dengan anak yang masih lagi berada di dalam kandungan emak ketika itu. Iya…bayi yang berada dalam kandungan emak ketika itu adalah bekas suamiku.

Sebaik sahaja aku tahu bahawa dia adalah jodoh yang dicari oleh arwah ibu, aku mula merasa kurang senang. Tetapi mengenangkan betapa arwah ibu sangat mementingkan persahabatannya dengan ibu mentuaku, aku hanya pasrah. Waktu itu, hanya ayah yang membantah. Katanya, Syahrizal tidak benar-benar menyukai diriku. Dia tidak ingin melihat aku bagai melukut di tepi gantang apabila aku mengahwini lelaki itu nanti. Waktu itu aku hanya tersenyum, kagum dengan pemerhatian ayah tetapi aku juga tiada pilihan. Ini adalah harapan terakhir arwah ibu. Amanat ibu kepadaku sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa tahun sebelum itu.

Di awal pertunangan kami, dia menerimaku tanpa banyak soal. Permintaan ibu bapa katanya. Tapi tiada apa yang berubah. Layanannya terhadapku masih lagi sama seperti dulu. Sebaik sahaja berumah tangga aku cuba sedaya upaya untuk melayaninya sebaik yang mungkin. Aku tersenyum, cuba untuk bertanya tentang aktiviti sehariannya, memasak makanan kegemarannya tetapi usahaku seolah-olah bagai mencurah air ke pasir. Setiap hari aku hidup bagai menghela rambut dalam tepung. Aku hidup, bergerak dan bernyawa tetapi ketika itu aku seolah-olah lemas dalam lautan yang dalam. Takut untuk mmenghela nafas yang panjang, risau rumah yang baru dibina akan runtuh begitu sahaja. Ku pendam perasaan kecewa di dalam hati. Usia perkahwinan kami masih muda. Kalau aku tersungkur di kala ini, aku mungkin akan gagal selama-lamanya.

Di kala aku hampir lemas, berita tentang adanya satu nyawa yang sedang membesar di dalam rahimku menyelamatkan aku. Waktu itu aku benar-benar gembira. Hidup yang kelihatan gelap dan hambar sebelum ini seolah-olah diterangi chahaya yang sangat terang. Aku mula ada arah tuju dan matlamat yang ingin ku capai. Untuk melindungi dan membahagiakan anak kecil ini.

Selepas habis memeriksa barang-barang di dalam kotak, aku bangun dan menuju ke arah meja di sebelah almari hiasan. Gambar lama itu, aku tempatkan di situ bersama beberapa keping gambar yang lain. Teringatkan sesuatu, aku pun membuka laci kiri almari hiasan. Terpampang gambar perkahwinan yang sudah lama aku tinggalkan di situ. Mungkin sudah masanya untuk aku buang gambar-gambar ini. Tidak ada maknanya lagi untuk terus disimpan di sini. Jari jemariku mengusap gambar itu perlahan-lahan. Wajah wanita dalam baju pengantin ungu muda yang tersenyum manis itu seorah-olah merenung dan mencabarku kembali. Di mana kebahagiaan yang aku kata aku akan capai suatu hari nanti? Di mana ego dan maruah menggunung yang mengatakan bahawa aku akan terus kuat menghadapi onak dan duri perkahwinan ini? Di mana wanita yang dulunya bertenaga, sentiasa positif menghadapi cabaran dan suka tersenyum itu pergi? Aku melihat raut wajahku di muka cermin yang tergantung di dinding. 15 tahun sudah berlalu, yang tinggal hanyalah garis-garis kedut yang mula muncul di wajahku. Yang tinggal hanyalah kesepian yang menemaniku kini. 15 tahun……

Tahun pertama perkahwinanku, aku mengharapkan cinta, tahun kedua aku mengharapkan belas kasihan dan tahun ketiga aku mengharap untuk dia menatap wajahku, memandang anak mataku dan mendengar keluhan hatiku. Tapi hampa, aku seolah-olah angin petang yang datang menyapa, ada atau tiada tidak memberi apa-apa makna dalam hidupnya.

Entah sejak bila, dia tidak penting lagi buatku. Kegembiraannya bukan lagi kegembiraanku. Kesedihannya tidak menyakiti hatiku. Kekecewaannya dan kehidupannya bukan sebahagian daripada kehidupanku lagi. Mungkin ketika kali pertama aku menatap wajah putih bersih wanita itu di kliniknya dulu?  

Kali pertama bersua muka, ku lihat jari-jemari yang masih lagi merah dihiasi inai, wajah yang tersenyum manis menggambarkan seribu kebahagiaan. Suara lunaknya lembut kedengaran bertanya sama ada, adakah ini kali pertama aku datang ke klinik ini. Mesra dia meminta kad pengenalanku untuk membuat pendaftaran kad pesakit. Waktu itu aku hanya mampu tersenyum dan memandangnya diam. Tanpa aku sedari ketawa kecil keluar dari bibirku. Tawaku semakin menjadi-jadi. Saleha yang berada di sebelahku ketika itu memaut lenganku kuat. Wajahnya penuh dengan seribu kerisauan. Wajah manis itu juga hilang senyumannya, memandang diriku dengan seribu persoalan. Mungkin terkejut melihat wanita dihadapannya tidak dapat berhenti ketawa dengan air mata yang rabak jatuh ke pipi. Mungkin bersimpati melihat keadaanku yang seperti kurang siuman. Aku hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan menarik Saleha keluar dari situ.

Petang itu seperti biasa, aku menjemput Asyraf daripada pusat asuhan. Masuk ke dapur dan menyediakan makan malam untuk suamiku. Malam itu, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah, dia memandangku tajam. Aku hanya diam dan selamba menghidangkan makanan di atas meja. Seperti biasa aku memintanya membersihkan diri dan bersolat sebelum makan. Malam itu tidak ada apa-apa yang berbeza. Malam ini sama seperti malam-malam yang lain.

“Awak ada datang klinik saya ke tadi” soalnya tiba-tiba semasa kami makan malam. Aku tersenyum kecil. Jarang mendengar dia mengemukakan soalan kepadaku terlebih dahulu.

“Tak ada. Kenapa?” soalku kembali. Dia hanya menggelengkan kepala dan meneruskan suapan yang terhenti sebentar tadi. Entahlah, sama ada dia percaya atau tidak aku tidak peduli. Selepas beberapa ketika mendiamkan diri aku bersuara kembali.

“Ada awak simpan gambar saya atau Asyraf di klinik?” soalku. Dia menggeleng.

“Dalam handphone?” soalku lagi. Lambat-lambat dia memandang ke arahku. Mungkin pelik mendengar soalanku sebentar tadi.

“Ada dua , tiga gambar Asyraf…” balasnya mendatar. Aku mengangguk lagi. Ah, nampaknya aku hanyalah ibarat batu di tepi jalan untuk dirinya.

“Kenapa?” soalnya.

Aku menghembuskan nafas panjang dan tersenyum kecil.

“Saja….nak tahu. Mesti ramai kawan-kawan awak tak kenal saya kan? Saya tak pernah pergi ke klinik awak dan awak jarang ajak kawan-kawan awk ke sini kan...” balasku kembali. 'Dan mesti isteri baru awak pun tak kenal saya kan?' bisik hatiku.  Dia hanya meneruskan suapannya diam.

Dan aku, terus-terusan aku memandang dirinya yang sedang ralit makan. Apa yang berbeza? Tiada apa-apa yang berbeza. Apa yang sama? Itu pun tiada apa-apa yang sama. Dia dan kehidupannya dan aku dengan kehidupanku. Bukankah sejak dulu lagi rumah tanggaku adalah begini?

Aku mengeluarkan gambar-gambar tersebut dan memasukkannya ke dalam plastic hitam. Esok aku akan buang gambar-gambar ini ke dalam tong sampah di kawasan kejirananku. Tiada maknanya untuk aku terus menyimpan gambar-gambar ini. Perkahwinanku selama 15 tahun hanyalah mimpiku semata-mata. Realitinya, pertalian itu tidak pernah wujud. Dan Asyraf, aku tahu Asyraf akan memahami hati ibunya ini.

Selesai mengikat dan meletakkan plastic hitam itu di muka pintu, aku menggeliat kecil. Ah…aku benar-benar mengantuk. Malas rasanya untuk menggerakkan badan dan masuk ke bilik. Aku rebahkan badanku ke atas sofa panjang itu sekali lagi. Mataku dipejamkan dan malam itu aku terlena di ruang tamu diulit mimpi tentang peristiwa yang berlaku lama dulu.

Hari itu, matahari yang cerah dan angin yang bertiup nyaman seolah-olah turut bersamaku menyambut hari ulang tahun kelahiran Asyraf yang ke-enam. Aku membawanya ke KFC seperti yang aku janjikan seminggu sebelum itu. Gembira betul Asyraf, maklumlah sejak kebelakangan ini aku terlalu sibuk di hospital dan jarang meluangkan masa dengannya. Ketawa riang anak kecil itu, apabila pekerja KFC mengeluarkan sebiji kek kecik ‘Angry Bird’ yang digemarinya. Hari itu belum sempat Asyraf meniup lilin kek hari jadinya, pantas aku menarik tubuh kecil itu dan mendukungnya keluar dari KFC. Aku berlari-lari tergopoh gapah seperti dikejar hantu hantu sambil memeluk Asyraf dan melindungi wajahnya di dadaku. Puteraku! Puteraku! Putera kesayanganku.

“Kenapa ni ibu?” soal Asyraf bertalu-lalu. Aku memandang sekilas ke arah sebuah keluarga bahagia yang sedang mengambil tempat duduk di satu penjuru KFC tersebut. Puteraku…putera kesayanganku. Aku enggan dia melihat bagaimana budak perepuan kecil itu didukung dan dicium mesra oleh bapanya. Aku enggan dia melihat bagaimana ibu budak perempuan dirangkul mesra oleh suaminya. Aku enggan dia melihat betapa bahagianya keluarga itu. Biar aku menderita, biar aku sengsara, tetapi tidak akan sekali-kali aku membiarkan puteraku berduka.

Miss Z, Januari

Wednesday, January 6, 2016

Cerpen: Penghujung ( Part 1)



11/12/15-8.30 p.m.- Asyraf Zayid

 “Sayang…” kedengaran suara ibu perlahan di corong telefon. Aku mengerutkan dahi. Hatiku mula rasa tidak senang. Selalu saja ibu memanggilku dengan gelaran sayang, tetapi intonasi ibu kali ini agak berbeza daripada biasa.
“Hmm…kenapa ibu?” soalku kembali. Lama ibu mendiamkan diri. Aku mendengar hembusan nafas halus di hujung talian sebelum ibu bersuara lagi.

“Sayang..” kali ini suara ibu jelas kedengaran. “Ibu dengan abah dah sah bercerai. Petang tadi abah sah ceraikan ibu kat mahkamah.”

Aku diam sebentar. Cuba memahami apa yang ibu katakan. Cuba untuk merasa kekecewaan ataupun kesedihan yang sepatutnya datang menyapa. Tapi aku tidak merasai apa-apa.

“Ibu okay?” balasku. Risau juga dengan keadaan ibu sekarang. Nak-nak ibu hanya keseorangan di rumah.

“Haah. Ibu ok…Asyraf?” soal ibu kembali.

Aku tersenyum kecil. “Ibu....ibu…yang bercerai bukannya Asyraf tetapi ibu. Kalau ibu ok…Aysraf pun ok.” balasku kembali. Ibu ketawa kecil di hujung talian. Aku pasti pada waktu ini  pasti ibu sedang mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Ibu yang minta cerai. Macam mana pulak ibu yang tak ok. Ibu ok je kat sini. Cuma ibu risaukan Asyraf aje. Ibu tak nak Asyraf fikir yang bukan-bukan kat sana. Ibu nak anak ibu belajar rajin-rajin untuk kesenangan diri sendiri nanti….ok sayang.” Balas ibu lagi sentiasa mengulang nasihatnya kepada diriku. Aku menganggukan kepala perlahan.

“Haah, InsyaAllah” balasku. Ibu mula mengalih topik, bercakap tentang diriku, apa yang aku buat pada hari ini, bertanya tentang makanan di sini sama ada memenuhi seleraku atau tidak sama seperti hari-hari yang lain. Sekali pun kami tidak menyebut nama abah lagi. Setelah beberapa minit melayan pertanyaan ibu, aku mematikan talian.

Bercerai….hmm…Ini kali pertama aku mendengar perkataan cerai keluar daripada mulut ibu.
Aku mengambil kembali pen yang terbiar di sisi meja. Ingin meyambung kembali latihan matematik yang terbengkalai sebentar tadi. Tanpa aku sedari sebuah keluhan kecil keluar dari bibirku. Aku memandang buku latihan matematik itu kosong. Hilang keinginan untuk menyiapkan beberapa soalan lagi yng tidak kujawab. Entahlah.Dah lama aku menjangka perkara ini akan berlaku, tapi aku tak sangka pulak yang ibu langsung tidak memberi amaran kepadaku terlebih dahulu. Ibu…ibu… Hmm… sekali lagi  aku menghembuskan keluhan kecil.

Ibu yang aku kenali, sama seperti ibu-ibu yang lain. Ibu sangat-sangat menyayangiku. Selalu mendahulukan diriku walaupun kadang-kala kerja-kerja di hospital sangat memenatkan. Ibu selalu tersenyum dan ketawa apabila bercerita tentang kisah pak pandir atau pun kisah si labu-labi setiap kali sebelum aku tidur, selalu memastikan makan dan minum aku terjaga. Walaupun boleh dikatakan aku membesar di rumah asuhan, setiap hari ibu tidak lupa untuk memastikan dia sentiasa berkomunikasi dengan diriku.

Dan abah.....sewaktu aku kecil aku masih ingat lagi abah melayan kerenahku. Bercerita itu dan ini dan membuatku ketawa. Tapi entah sejak bila aku mula menyedari yang abah mula kurang meluangkan masanya bersama aku dan ibu. Setiapa kali aku bertanya, alasan ibu adalah abah sibuk menguruskan Kliniknya di taman Alam Mahkota. Klinik itu merupakan Klinik peninggalan arwah atuk ku dahulu dan sekarang diuruskan oleh abah dan bapa saudaraku.
Pada awalnya aku menerima sahaja alasan yang diberikan oleh ibu, tetapi apabila usiaku makin meningkat dan aku mula bergaul dengan kawan-kawanku di sekolah, aku mula sedar bahawa hubungan ibu dan abah bukan seperti hubungan ibu-bapa yang lain. Abah selalu tersenyum apabila berada bersama ku. Tetapi abah yang aku kenali berbeza sekali apabila bersama-sama dengan ibu. Sepanjang hidupku selama 14 tahun ini tidak pernah sekali pun aku melihat ibu dan abah bergurau senda, ketawa bersama-sama sama seperti ibu bapa yang lain. Seperti biasa, ibu akan memasak dan menghidangkan makanan di atas meja dan menemani abah makan. Kadang kala ibu akan bersuara bertanyakan sesuatau kepada abah tetapi kebanyakannya adalah hal-hal yang penting sahaja. Dan abah seperti biasa akan duduk di meja makan dan menjawab persoalan ibu dengan sepatah dua kata tanpa pernah sekalipun menatap wajah ibu lebih dari 2 saat. Dan aku, aku yang dahulunya suka berceloteh itu dan ini tanpa menyedari ketegangan yang ada antara dua manusia yang berada di hadapanku ini mula merasai ketegangan tersebut. Setiap kali abah berada di rumah, dia lebih suka menghabiskan masa di bilik ‘studinya’ dan ibu pula melayan drama di ruang tamu seperti dua orang asing yang tidak pernah kenal antara satu sama yang lain.

Aku melontarkan kembali pen yang berada di tanganku ke sisi meja. Buku Latihan matematik aku tutup kasar. Firdaus, kawan sebilikku memandang diriku pelik.
“Dah siap dah homework” soalnya apabila melihat diriku menuju ke arah lokar makanan dan mencapai sebotol air mineral. Aku menggeleng-gelengkan kepala kemudian meneguk air dari botol mineral di tangan.

Firdaus mula tersenyum nakal. “Kenapa? Anak ibu rindu kat ibu ke? Bukan lepas bru bercakap dengan ibu ke?” dia mula mengusik.  Siapa yang tidak tahu, aku sangat manja dengan ibuku. Malah apabila aku mula-mula tinggal di asrama ini, hampir setiap minggu ibu akan datang menaiki kapal terbang semata-mata untuk berjumpa denganku. Aku menjeling kasar kearah Firdaus sebelum merebahkan diri ke atas katil. Firdaus hanya mengangkat bahunya dan menyambung kembali kerjanya sebentar tadi.

“Ibu dan abah aku dah bercerai.” Ujarku perlahan sambal memandang kipas siling yang berputar. Kedengran bunyi dari kerusi Firdaus bekeriuk yang menandakan Firdaus memandang ke arahku dengan segera.

“Petang tadi. Kat mahkamah.” sambungku tanpa menunggu apa-apa reaksi daripada Firdaus. Aku dapat membayangkan wajahnya yang berkerut-kerut ketika itu.

“Apa yang jadi? Engkau ok ke?” soal Firdaus bertalu-talu.

“Aku ok je…Cuma aku risaukan ibu aku. Aku tak tahu apa yang dia rasa waktu ni.” Balasku kembali. Firdaus hanya membisu. Mungkin tidak tahu apa yang patut dikatakan. Lama dia mendiamkan diri sebelum dia bersuara.

“Aku pasti ibu kau ok…Ibu engkau seorang yang kuat Asyraf.”ujarnya perlahan utuk menyedapkan hatiku. Aku hanya mengangguk kecil. Ibu…ibu….

Ibu yang selalu tersenyum dan tidak pernah sekalipun mengalirkan air mata dihadapanku. Tidak kira lah apa yang berlaku. Setiap kali abah tidak menghiraukan soalannya, ataupun setiap kali abah hanya mengangguk dan menumpukan perhatian pada skrin computer atau kertas kerjanya, ibu tidak pernah meluahkan perasaan marah. Ibu yang hanya tersenyum walaupun jelas tiada kegembiraan dalam senyuman ibu.

Dulu aku ingat kebisuan abah adalah kerana personalitinya. Salah seorang pekerja lelaki di pusat asuhanku pun seperti itu. Kurang bercakap dan sentiasa menunjukkan wajah yang tegang. Menurut Kak Lina, pengasuh upahan aku dahulu ramai sahaja lelaki yang dikenalinya mempunyai personaliti seperti itu. Lelaki tidak banyak bercakap seperti perempuan dan lelaki tidak tahu menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada orang lain. Sewaktu itu hanya Kak Lina yang sentiasa bersama-samaku selain daripada ibu dan aku benar-benar mempercayainya sehingga hari itu. Hari yang benar-benar membuka mataku seluas-luasnya.

Ketika itu aku berusia 10 tahun. Seperti biasa pada hari itu aku menunggu kehadiran ibu untuk mengambilku pulang daripada kelas agama. Tapi nampaknya ibu agak lewat kerana jam sudah menginjak ke pukul enam petang. Aku mula berkira-kira untuk menelefon ibu apabila aku melihat kereta nenek berhenti di perkarangan pintu pagar sekolah agamaku. Berlari-lari aku menuju ke kereta dan memeluk nenek. Menurut nenek, ibu tidak dapat mengambilku pada hari itu kerana urusan penting dan aku akan tinggal di rumah nenek buat beberapa hari. Aku mengangguk.
Selalu sahaja aku dan ibu bermalam di rumah nenek. Malah ketika ibu terpaksa menghadiri seminar beberapa kali sebelum ini, aku memang sentiasa bermalam di rumah nenek. Nenek dan ibu sangat rapat antara satu sama lain. Bak kata Mak cik Leha, antara dia dan ibu seolah-olah dia adalah menantu dan ibu adalah anak kandung nenek. Setiap kali ibu dan nenek mendengar ucapan Mak Cik Leha, mereka hanya ketawa kuat.

Usai sahaja makan malam, nenek bergegas-gegas bersiap. Nak ke masjid katanya kerana ada ceramah daripada ustazah kegemarannya. Jadi aku hanya ditinggalkan di rumah bersama mak cik Leha. Seperti biasa, selesai makan malam mak cik Leha akan berkurung di dalam biliknya. Apa yang dia buat entahlah, aku tidak tahu. Kebosanan, aku berjalan masuk ke dalam bilik yang disediakan khas untuk aku dan ibu setiap kali kami bermalam di sini. TV kecil yang berada di penjuru bilik itu aku buka dan aku mula menonton rancangan kartun kegemaranku. Tidak beberapa lama kemuadian, aku mula mendengar bunyi bising di ruang tamu. Bunyi seperti bayi mengangis dan juga suara abah. Abah datang ke? Nak tidur di sini dengan aku? Aku mula tersenyum lebar dan berlari-lari turun untuk menuju ke ruang tamu.

Tiba-tiba langkahku terhenti di ruang tangga. Aku melihat abah ketawa kuat sambil memeluk dan mencium dahi seorang wanita asing di ruang tamu. Wanita itu tengah duduk dan dipangkuannya ada seorang bayi kecil yang tengah menangis perlahan.

“Abah! Abah!...Mama!...Mama!” ujar seorang kanak-kanak perempuan yang tiba-tiba berlari-lari ke arah abah dan memeluk betisnya erat.

“Mak cik Leha kata..nenek tak ada. Pergi masjid.”ujarya sedikit pelat. 

“Tak de…”balas abah sambil mendukung budak perempuan tersebut dan melabuhkan punggung di sebelah wanita tadi.

“Kalau nenek tak ada. Tak apa lah. Jom kita duduk tengok TV kat sini dulu…”balas abah dengan senyuman luas sampai ke pipi. Kali pertama aku melihat wajah abah segembira dan ketawa seperti itu. Dan kali pertama aku melihat abah memeluk bahu seorang wanita dah bercakap ramah mesra seperti itu. Aku ingin berlari dan memaut tubuh abah. Aku ingin menjerit dan bertanya kepadanya siapa wanita dan kanak-kanak kecil dipangkuannya itu. Tetapi tiba-tiba wajah suram ibu terbayang di ruang mataku. Senyuman hambarnya seolah-olah tidak mahu padam daripada ingatanku.

Perlahan-lahan aku mengundur diri dan masuk ke bilikku. Malam itu berkali-kali aku menelefon ibu. Aku ingin memberitahu ibu tentang apa yang kulihat sebentar tadi. Aku ingin memberitahu abah yang ku kenali dan abah yang ku lihat sebentar tadi amat berbeza. Aku ingin bertanya sama ada ibu tahu siapakah mereka. tetapi talian telefon ibu tetap tidak berjawab pada malam itu.

“Woi, bro! Jom pegi supper.” ajak Firdaus sambil menepuk bahuku kuat. Aku mengangguk kecil dan mengekorinya keluar dari bilik untuk ke dewan makan. Aku tahu perihal ibu bapaku masih lagi bermain-main di fikiran  Firdaus, tetapi kawanku ini sangat menhormati perasaanku. Selagi aku tidak membuka mulut dengan sedirinya, selagi itu dia tidak akan memaksa aku bercakap tetang perkara itu.

“Sebelum tu engkau nak lumba lari kat school compound tak…sapa pusing satu round dulu dan sampai kat dewan makan menang. Yang kalah kena belanja nasi lemak koop dengan coffe latte. Apamacam? Ok eh?” soal Firdaus sambil tersenyum lebar menampakkan giginya yang keputihan itu.  Sebaik sahaja sampai kiraan tiga kami mula memecut, aku mula perasan laju semacam sahaja kawanku ini memulakan larian apabila sahaja dia memintasku. Secara kebetulan mataku memandang ke arah kakinya.

“Lahabau…punya kawan!!!” aku menjerit kuat. “Mana aci engkau pakai kasut sukan, aku pakai selipar jepun ni! Hampeh!!!” jeritku lagi  sambil mengekori Firdaus yang sudah jauh berlari di hadapannya. Tiba-tiba segala keresahan yang bermukim di dalam hati ku sebentar tadi hilang begitu sahaja. Sepenuh daya aku mengejar sahabat karibku yang bertuah itu.