Thursday, August 15, 2013

Cerpen: Hujan

Salam semua...hah, tiba-tiba rasa macam nak menulis cerpen pulak minggu lepas. So, Z pun taip-taip dan jadilah cerpen ni. Walaupun masih amatur lagi, tapi Z puas hati la sebab jadi jugak nak menulis daripada tak jadi langsung....Ntah apa-apa yang Z merapu pun Z tak tahu dalam cerpen ni, tapi ada yang Z nak sampaikan...
Tajuk dia Hujan sebab, lately, asyik hujan jer dekat tempat Z beajar ni, hujannya tak berenti-renti dah tiga bulan...memang dah musim dia katakan la kan...so erm....selamat membaca...
.................................................................................................................................................................

HUJAN

Jakarta


Hujan....tap...tap...tap...
Tap...tap...tap....bunyi air hujan yang melanggar pintu tingkap yang separuh terbuka itu menarik perhatian Lia daripada skrin laptop. Terpapar ‘homepage facebooknya’ menayangkan berita yang menyebabkan dia terkaku beberapa ketika sebentar tadi. Apa yang patut dirasakan dan apa yang dirasainya ketika menatap berita itu sangatlah berbeza. Terbit rasa bersalah di corong-corong hati tetapi hanya seketika dan digantikan pula dengan rasa cemburu, putus asa marah dan kecewa. Memang betul kata pepatah, manusia ini kadang kala bagaikan hujung lurus pangkal berkait, secara luaran nampak baik tapi di dalamnya hanya Tuhan yang tahu.  

Kilat lantai yang mulai basah itu menarik perhatiannya sekali lagi. Dengan langkahan malas yang amat, perlahan-lahan dia bangun dan menutup cermin tingkap.Kain buruk di hujung kaki mejanya dihamparkan ke tempat yang basah takut-takut ada yang tergelincir pula nanti. Maklumlah bukan dia seorang sahaja yang duduk di bilik ini, ada yang lain juga menghuni. Segera, Lia merebahkan diri ke atas katil yang dikemas rapi. Syiling bilik yang putih melepak tanpa sebarang celak dan cela itu ditatap tajam mengembalikan ingatannya akan kata-kata ustaz Hamid beberapa bulan lalu;

“Rezeki itu di tangan Allah. Andai kata itu rezeki kita, lambat atau cepat akan sampai juga kepada kita dan pengukurnya kesabaran. Andai kata itu bukan rezeki kita maksudnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita dan pengukurnya keredaan. Tapi sebenarnya kedua-dua pengukur tu perlu sentiasa seiringan sebab rezeki Allah itu tidak ada dalam pengetahuan manusia.”

Lia mengangguk perlahan-lahan. Iya, rezeki itu milik Allah, dan tugasnya sebagai manusia hanya bersabar dan menerima dengan keredaan dari hati yang ikhlas. 

"Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan
kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."(Surah Hud : 123)

Tap...tap...tap....air hujan terus berbunyi meredakan ribut bencana yang merusuh di dalam hatinya.
                                                    .........................................................

“Lia, kau dah dengar berita semalam dah?” soal Alina sebaik sahaja gadis itu melangkah di sebelahnya. Mereka baru sahaja keluar dari dewan kuliah untuk menuju ke makmal biochemistry pula. Lia tersenyum kecil, tahu sangat dengan apa yang dimaksudkan oleh Alina. Dia mengangguk kecil.

“Tahu, aku tengok dekat facebook semalam.”balasnya sambil tersenyum.

“Kau nak pergi tak....eii...excited nya aku. Tak sabar nak pergi.”ujar Alina penuh gembira.

“Ye ke?”soal Lia sambil mengerutkan dahi tanda tidak percaya. Saja mengusik sahabat yang sudah dikenali sejak tiga tahun lalu itu. Seraya Alina berpaling ke arahnya dan membalas.

“Ye la, bak kata pepatah apa tu sambil berdiang nasi masak, sambil menyelam minum air. Sambil-sambil meraikan sambil-sambil la kita berkenalan. Mana tahu sekali pandang ada yang tertawan.”

Lia menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa kecil. Macam-macam la Alina ni. Ada jer yang bermain-main di dalam otaknya yang memang dah bergeliga tu. Alina...Alina...

Plik..terasa setitik air jatuh di pipinya. Pantas Lia memandang ke arah langit ditutupi awan hitam gelap. Beberapa titisan lembut air hujan kelihatan jatuh bertaburan. Segera dia menarik lengan Alina rapat.
“Dah..dah...cepat sikit jalan tu. Nanti nasi tak sempat nak masak, air tak sempat nak minum kita dah basah kuyup dulu.”balasnya menyindir. Seraya Alina menjuihkan bibir dan ketawa kecil. Saja la tu menyindir. Tahu benar yang dia memang takkan menang kalau nak lawan bercakap dengan Marlia ni. Ada jer jawapannya. Apa tu...bak kata Prof Soraya beberapa hari lalu bila dah bercakap tu macam bertih digoreng. Hah, lebih kurang begitulah pandangannya terhadap Marlia. Entahlah.....Cepat-cepat dia membalas genggaman Lia dan berlari mencari tempat berlindung.

Lia melihat air hujan yang tadinya hanya turun renyai-renyai menjadi semakin lebat. Alina yang berada disebelah hanya membisu dan sesekali memandangnya dengan kerutan di dahi. Risau agaknya maklumlah, kelas praktikal mereka akan bermula dalam masa 10 minit lagi tetapi tiada pula tanda-tanda hujan nak reda. Salah mereka juga, dah tahu musim hujan, boleh pula mereka lupa untuk membawa payung. Hujan ni pun, kalau nak turun tu sabar la sikit! Biar mereka sampai di makmal dulu. Dengus hatinya.

"Dan Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa kabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan) dan kami turunkan dari langit air yang sangt bersih. agar dengan air itu Kami menghidupkan negri yang mati(tandus) , dan kami memberi  minum kepada sebagian yang telah Kami ciptakan, (berupa) hewan-hewan ternak dan manusia yang banyak. dan Sungguh kami telah mempergilirkan (hujan) itu di antara mereka agar mereka mengambil pelajaran , tetapi kebanyakan manusia tidak mau (bersyukur) bahkan mengingkari (nikmat )"
(QS.Al-Furqan : 48-50 )

Ya! Bukankah hujan itu diturunkan sebagai pembawa berita gembira? Mungkin sebagai salah satu cara untuk Allah mengubati hatinya yang masih tidak tenteram beberapa hari ini. Dan juga untuk manusia-manusia agar tanaman dan ternakan mereka terus subur di muka bumiNya yang luas. Lia mengingatkan diri-sendiri. Dan bukankah mereka yang merungut dan membenci di kala turunnya hujan adalah mereka yang tidak pandai bersyukur dan mengingkari nikmat Allah? Astafirghullah hal azhim....agaknya dah berapa kali dah dia merungut di dalam hati sebab hujan lebat sangat ni. Segera Lia beristighfar beberapa kali dan mengucap memuji kebesaran Allah s.w.t. Walaupun hujan menghalang pergerakannya buat sementara namun rahmat Allah ini lebih besar manfaatnya. Dia yakin akan hal itu. Bibirnya masih lagi terkumat-kamit melafazkan kalimat Allah.

“ Nak pinjam payung?” tegur satu suara tiba-tiba. Marlia memandang ke arah lelaki yang berada disebelahnya dengan wajah yang sedikit terkejut. Pelajar dari Malaysia juga nampaknya tetapi pelajar senior yang tak pernah dikenali.

“Tak nak guna ke?” soal Marlia kembali.  Lelaki itu seraya menggeleng.

“Dah tak ada kelas dah. Cuma tunggu nak balik rumah je ni. Lagipun kalau naik motor tu saya pakai baju hujan. Ye la mana boleh bawak payung. ”balas lelaki itu pula.

Marlia mendiamkan diri berfikir ragu-ragu. Iyalah, kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan orang lain apatah lagi orang yang tidak dikenali. Alina sibuk sahaja mencuit-cuit sikunya tanda mahu menerima, maklumlah, hujan masih lebat takkan nak masuk makmal basah kuyup. Akhirnya Marlia mengangguk dan berjanji akan memulangkan payung tersebut apabila mereka terserempak lain lagi.

Alhamdulillah mungkin rezekinya kali ini dan dalam diam dia turut mendoakan Allah memurahkan rezeki bagi yang memberi. Bukankah Allah itu maha Adil. Pasti ada ganjaran yang akan diberikan kepada hamba-hambNya yang berbuat kebaikan. Kata-kata Maisarah beberapa hari lalu masih lagi terngiang-ngiang ditelinganya.

“Setiap kebaikan dan kebajikan itu ibarat sebiji benih yang ditabur diladang, benih itu akan bercambah dan membesar dan menjadi pepohonan yang merimbun dan akhirnya  bila tiba masanya nanti, pohon-pohon ini akan mencambahkan benih-benih baru yang akan terus subur. Daripada satu benih itu kita dapat benih yang lain, daripada satu kebaikan itu, akan ada lebih banyak kebaikan akan menyusul. Oleh itu jangan gentar untuk berbuat kebaikan, kerana gentar kita hanya pada Tuhan yang Satu.”                                                         
                                               ....................................................................

“Wahida! Tahniah!Tak sangka.”teguran Syahirah sebaik sahaja Wahida melangkah masuk ke dewan kuliah menggamit perhatian Lia. Dia melihat Wahida yang hanya tersenyum simpul.

“Ha’ah Ida. Tup...tup tengok dah ada berita dalam facebook. Terkejut kitorang sampai jatuh tergolek-golek si Lia ni” sampuk Alina yang berada di sebelah Marlia. Lia membutangkan mata ke arah Alina geram.

“Amboi, air setitik dilautkan tanah seketul digunungkan nampak?”sindir Lia. “Bila masa kau ada kat sebelah aku masa aku buka Face book semalam.”sambungnya lagi.

Alina meletakkan tangannya ke pinggang sambil mendengus kencang. “Tak sporting la kau ni” balasnya sambil menjuihkan bibirnya manja. Lia tersenyum kecil. Saja mengusik. Memang dia suka menyakat sahabatnya yang satu ini. Reaksi Alina kadang-kadang mampu membuatkan orang ketawa. Nak-nak bila ditunjukkan wajah merajuknya seperti sekarang. Lia hanya menjeling sekilas ke arah Alina sebelum mengalihkan perhatian kepada Wahida.

“Tahniah” ucap Lia ringkas kepada Wahida sambil memeluk tubuh kecil molek itu rapat kepadanya. Wahida mengangguk kecil. Wajahnya yang putih bersih itu kemerah-merahan menahan malu.

“Terima kasih”balasnya. Lia hanya tersenyum.
Tiba-tiba terasa bahunya dicuit sedikit. Marlia berpaling ke belakang untuk melihat gerangan yang meminta perhatiannya itu. Maisarah!

“Mai...kenapa?”soalnya apabila melihat wajah sahabat yang sedikit keruh.
“Kelas dah habis kan. Boleh berjalan pulang dengan aku sekejap. Ada hal sikit.”balas Maisarah. Marlia hanya mengangguk kecil. Segera dia mengambil beg tangannya dan memberitahu Alina yang dia akan pulang dahulu.

“Kenapa?”soal Lia apabila Maisarah masih lagi membisu sedangkan mereka sudah separuh jalan. Kedengaran sahabatnya itu melepaskan nafas panjang. Marlia mengerutkan dahinya pelik. Setahunya, Maisarah bukan jenis yang diam begini walau apa pun masalah yang melanda. Tapi kenapa hari ni tiba-tiba sahabatnya berubah laku? Entahlah....Lia mengambil jalan untuk mendiamkan diri sahaja dulu.

Jarang mereka pulang dengan berjalan kaki seperti ini. Maklumlah kota Jakarta ini kota yang sangat sibuk, penuh dengan manusia yang sentiasa ke hulu dan ke hilir untuk melaksanakan tugas masing-masing. Lia menarik nafas panjang, menghidup udara segar yang hanya ada setiap kali selepas hujan turun. Spontan pandangannya dihalakan ke arah langit yang membiru. Tanpa sedar sebuah senyuman kecil terukir di bibirnya. Sekali-sekala, dia menjeling ke arah Maisarah yang masih lagi membisu.

" Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (Al-Mukminun : 18)

Tiba-tiba Maisarah menghulurkan sebuah kad kecil berwarna merah hati kepadanya. Langkahan Marlia terhenti. Memang dia kenal betul dengan bentuk dan rupa kad tersebut. Tidak perlu ditanya kepada Maisarah daripada siapakah datangnya. Perlahan-lahan dia mengambil kad kecil itu dan menyimpannya ke dalam beg tangan. Sakit kepalanya malam tadi kembali mencucuk-cucuk.

“Aku tak tahu apa nak cakap....” ujar Maisara perlahan cuba memulakan bicara sambil memandang sahabatnya itu tajam. Cuba memahami apa yang ada di sebalik wajah yang selalu tenang dan tidak berekspresi itu. Kadang-kadang dia langsung tidak tahu apa yang dirasai oleh Marlia. Marah ke, sedih ke gembira ke. Hanya ada senyuman kecil yang muncul sekala sekala di bibir nipis itu kalau gembira dan tidak lebih dari itu. Dia menyambung lagi “Kenapa selama ni kau tak pernah cakap.....”

“Mai, kau tahu tak Allah turunkan hujan mengikut sukatan?” soal Marlia sambil memintas kata-kata Maisarah. Maisarah terkelip-kelip seketika, terkejut dengan pertanyaan yang lansung tidak ada kena- mengena dengan isu yang mahu dibincangkan. Marlia meneruskan langkahannya yang terhenti sebentar tadi. 

Setelah beberapa ketika Maisarah turut melangkah di sebelah Lia sambil membisu. Lia menyambung.
“Sukatan itu kadangkala boleh menjadi rahmat dan kadang kala boleh menjadi hukuman pada manusia. Macam pedang bermata dua. Dan melalui rahmat dan hukuman ini datangnya pengajaran serta kesyukuran.”

"Tidakkah Engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? selepas itu Engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) Yang ada padanya; lalu ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa Yang dikehendakiNya. sinaran Kilat Yang terpancar dari awan Yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan" - Surah An Nur 43

“Aku tahu kau terkejut dengan berita ni. Tapi aku yakin dia dah ceritakan segala-galanya pada kau kan?” soal Marlia tiba-tiba. Maisarah hanya mengangguk.

Marlia melepaskan nafas panjang. Sudah dia agak. Maisarah takkan sewenang-wenangnya menjadi orang pengantara tanpa mengetahui perkara sebenar.

Spontan perlahan-lahan tangannya meraba beg di sisi di mana sekeping kad merah terletak kemas. Tahu benar dia apa inti-pati yang akan disampaikan. Nafas yang tadinya seakan tersekat dihembuskan dengan perlahan. Mungkin ini hukuman Allah, hukuman untuk memberi pengajaran dan membuahkan kesyukuran di hati yang tanpa sedar lalai.

“Hujan yang Allah turunkan kepada aku kebelakangan ini adalah untuk tujuan mendidik Mai. Untuk mengembalikan niat aku kepadaNya. Untuk mengingatkan hakikat sebenar kedatangan aku ke negara seberang ni, dan untuk mengingatkan aku yang setiap perkara itu telah dirancang dan diatur olehNya dari azali lagi.” Tangan kanannya diangkat menadah titis-titis kecil air hujan yang mulai jatuh.

“Selama ini, aku hanya memandang warkah merah yang menghuni ni dengan sebelah mata. Ada yang memberi, tapi walaupun aku tak menerima, tak pula aku tolak.  Tanpa disedari warkah ni sikit demi sedikit memupuk perasaan yang aku tahu tak patut bercambah di dalam hati. Perasaan yang akan menjadi racun dalam diri. Alhamdulillah Allah masih mahu mengingatkan aku Mai, yang paling menyayangi diri manusia dan hamba-hambaNya ini adalah Dia sendiri Mai. Dia yang abadi dan Dia yang tak berubah hati. Dia yang menguji diriku dan sepanjang ujian ini, dia turunkan hujan yang aku sangat gemari sebagai peneman. Tanda dia di sisi.”

“Tapi, tak patut.....”kata-kata Maisarah terhenti apabila dia melihat Marlia menggelengkan kepala. Tanda sahabatnya sudah tidak mahu mendengar perkara itu diungkit lagi. Sudahnya, perlahan dia menapak menemani insan yang semakin dikaguminya itu.
                                              ...................................................................................

Malaysia, Kuala Pilah

Marlia memandang ke kiri dan kanan. Ramai juga orang yang datang meraikan majlis yang sangat bererti buat salah seorang sahabatnya ini. Sesak dia mahu mencari arah yang perlu dituju. Ketika itulah dia melihat kelibat Maisara yang mengamitnya ke arah tangga yang berada di sebelah kanan rumah. Segera Marlia mencapai tangan Alina disebelahnya dan menuju ke arah yang sama.

“Ramai orang”ujar Marlia apabila sampai di sebelah Maisarah. Saja, sekadar berbasa basi. Maisara tersenyum.

“Ha’ah. Memang ramai dari pagi tadi lagi. Lagipun ni kan waktu peak. Lagilah teruk....jom naik. Semua ada kat atas.” Ajak maisara. Marlia dan Alina menggangguk dan mengekori langkahannya.

Sebaik, sahaja melangkah ke adalam bilik yang berhias indah itu, Marlia benar-benar terpegun. Hilang rasa gundah di hati apabila melihat wajah manis Wahida tersenyum bahagia dalam pakaian pengantin berwarna biru tua itu.

“Mabruk Wahida! Barakallahu lakuma wa barakah alaikuma wa jamaah baina kuma fee khair!”ujar Marlia sambil memeluk tubuh yang kecil molek itu. Bergenang seketika air matanya. Bahagia melihat sahabatnya bahagia dan kecewa dengan hati yang masih ingin berduka walau telah dipujuk berkali-kali.

“Jazakillah....”balas Wahida ikhlas sambil membalas pelukannya. Marlia hanya tersenyum manis. Sendu di dalam hati cuba disembunyikan sedaya upaya. Bukan masa untuk dia rasa kecewa, dan bukan masa untuk dia berduka. Bukankah ini waktu bahagia saudara se-islamnya? Harus waktu ini bibir dibasahi dengan kalimah puji-pujian pada Illahi.

“Wahida!”panggil satu suara yang benar-benar dikenali di muka pintu. Serentak mereka memandang ke arah pemilik suara. Seketika anak mata itu bertentangan dengan anak mata Marlia sebelum singgah ke wajah Wahida. Ketenangan yang ditunjukkan Marlia sebentar tadi sedikit terganggu.

 “Jom, dah masa.”ajak lelaki itu kepada isterinya. Rakan-rakan yang lain mula mengusik. Iyalah dah dua-dua pasangan ada di sini memanglah akan diusik. Segera Wahida melangkah ke arah suaminya sambil tersenyum malu.

Sekali lagi mata itu singgah di wajah Marlia. Kali ini Marlia hanya tersenyum hambar. Iya...dia reda. Bukankah reda itu adalah salah satu tali yang akan mendekatkan hamba kepada Rabbnya. Tali yang akan memberikan kebahagian yang abadi dan tali yang akan menjadi penyelamat di kala hati benar-benar dilukai.
Dia reda. Benar-benar reda. Senyuman mengiringi pasangan mempelai yang bagai pinang dibelah dua itu. 

Tahniah Khairul! Tahniah Wahida!
...................................................................

2 tahun sebelumnya, Jakarta

“Assalamualaikum.....”ujar satu suara menyapa lamunan Marlia..

“Waalaikumussalam” balas Marlia sambil memandang ke kiri. Segera senyuman kecil terukir di bibir apabila melihat gerangan yang menyapa. Khairul! Jejaka yang dikenalinya sejak mula melangkah ke Tadika Tanjung Sabtu lagi. Daripada tadika hinggalah ke Jakarta ini, mereka sentiasa belajar di tempat yang sama. Malah, apabila Marlia buat keputusan untuk belajar di sekolah pondok dulu pun, Khairul turut mengikutinya walaupun jejaka itu mendapat tawaran daripada sekolah berasrama penuh. Panjang jodoh mereka sampai di sini. Tetapi Marlia sentiasa bersedia, dia tahu suatu masa pasti akan ada waktu takdir mereka tidak bersilang lagi.

“Hepi bufday yang ke 21. Semoga sentiasa berada di bawah lindungan Allah s.w.t” ucap Khairul ceria. Marlia hanya mengangguk tanda terima kasih. Sekali lagi dia memandang ke arah awan putih yang berarak gembira di langit yang membiru.

“Dari tadi lagi merenung langit tu. Tunggu apa? Tunggu bulan jatuh ke riba ke?”Khairul berseloroh. Marlia hanya menggeleng. Senyumannya masih lekat di bibir.

“Tak adalah. Cuma tengah berfikir, bila lagi Allah akan menurunkan rahmatNya unruk menggembirakan pokok-pokok, tanaman dan haiwan ternakan termasuk juga untuk menggembirakan Lia. Tapi bila Lia fikir-fikir balik, Lia sedar ada banyak lagi bentuk rahmat Allah kepada kita seperti udara yang bersih ni.”
Khairul mengangguk.

“Hah...betul la tu. Dan yang kat sebelah Lia ni pun rahmat Allah untuk Lia jugak.”balas Khairul tiba-tiba. Marlia hanya mencebik. Ada-ada je mamat di sebelahnya ni cuba nak mencari perhatian.

“Apa ni?” soalnya apabila Khairul menghulurkan sekeping kad kepadanya.

“Entah. Bacalah.”itu sahaja yang dikatakan oleh Khairul sebelum berlalu pergi. Segera Marlia membuka kad yang berwarna merah hati itu. Tiga rangkap pantun coretan tangan Khairul menangkap perhatiannya.



Indra Giri Pasirnya Lumat
Kerang Bercampur dengan Lokan
Ibarat Nabi Kasihkan umat
Begitu saya kasihkan Tuan

Petik Sayur di daun Maman
Makan Berulam daun pegaga
Habis tahun berganti Zaman
Kasih tuan kunanti jua

Tumbuk Padi jadikan emping
Buat Juadah Teman Sebaya
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Kelihatan sebentuk cincin tergolek di dalam sampul surat. Marlia mula beristighfar panjang. Pantas anak matanya menangkap tubuh Khairul yang telah jauh menuyusur di antara pelajar-pelajar yang lain. Hainya berkocak kencang.
...................................................................................................................................................................
“Kau ok?”soal Maisarah sambil mencuit bahu Marlia lembut. Membulat mata Marlia terkejut dengan teguran yang tiba-tiba. Spontan senyuman manis dilemparkan ke arah Maisarah.
“Alhamdulillah...aku ok.”balas Marlia. Maisarah masih lagi memandangnya tajam tanda tidak puas hati.
“Aku ok...dah bukan jodoh aku Mai. Lagipun aku tak pernah pasang angan-angan walau ada yang meminta.” Balasnya bersungguh-sungguh. Kali ini barulah Maisarah mengangguk perlahan. Tidak pernah diceritakan kepada sesiapa pun hal yang berlaku selama ini. Cuma Maisarah sahaja pengecualiannya. Itupun dia tahu daripada mulut si jejaka yang minta dirinya menjadi pengantara untuk membuahkan kata-kata kemaafan. Lagipun, bukan pernah mereka memadu rasa pun sepanjang perkkenalan dan sepanjang masa si jejaka meluahkan rasa. Bukan jodoh agaknya. Teringat pula bait-bait pantun terakhir titipan Khairul melalui Maisarah bulan lalu.

Air diminum terasa duri,
Nasi dimakan terasa sekam,
Bukan niat mengundur diri,
Kerana jodoh ditakdir Tuhan

Bayang bayang disangka tubuh,
Hati tak sabar terus menerkam,
Bukan niat cinta berlabuh,
Sudah dirancang susunan alam.

Beralih cakap di balik lidah,
Lidah terbelit belakang gigi
Hati berpaling janji dipatah,
Maaf dipohon sepenuh hati.

Malam gelap pasang pelita,
Pelita diletak di tepi sulaman,
Tangan diangkat doa dipinta,
Agar kebahagiaan milik tuan.

Memang Marlia mengaku, walau janji tidak bertaut, kata tidak bersulam dan mata tidak bertatapan namun jauh di sudut hati ada angan yang dipasang, ada harapan yang dipegang, ada doa yang sentiasa dititipkan. Ada tali yang seolah-olah memegang hatinya utuh selama ini. Dan simpulan tali itulah yang perlu dirungkaikan satu-persatu, kerana tiada yang lebih merosakkan selain satu simpulan tali syaitan. Dia sentiasa mengingatkan diri  bahawa tiada yang lebih indah selain takdir Tuhan terhadap hambanya dan tiada apa yang lebih penting  selain keredhaanya.

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” Surah Ar-Ra’d : ayat 28

Dikala langkah kakinya menyentuh kawasan yang lapang di sebelah dewan majlis perkahwinan itu terasa titik-titik hujan renyai jatuh di tapak tangan. Segera dia mendongak mencari secarik awan hitam di langit yang luas.

“Nak pinjam payung?” soal satu suara dari tepi. Marlia mengerutkan dahinya.

“Hujan tak lebat....”balas Marlia memberi alasan. Lelaki itu tersenyum kecil.

“Sebab hujan tak lebat la saya offer kat awak. Kalau lebat, saya yang guna sendiri. Pulangkan sekali dengan payung hari tu ye.”ujarnya tersenyum sambil meninggalkan payung itu dihadapan Marlia. Marlia hanya tercenggang-cengang melihat dia berlalu pergi.

Tamat...

Ok...by the way...rangkap pantun 3 yang pertama tu, Z dapat daripada pantun-pantun lama

Yang rangkap pantun 4 yang terkemudian, pantun tu Z buat sendiri ditambah dengan peribahasa-peribasa Melayu lama...so kalau ada yang tersama tu hanyalah terkebetulan sahaja...tak ada tiru mana-mana yer...
Wasalam 

Tuesday, August 13, 2013

Kritiks: Penulisan.....


Hari ni lepas buat itu ini, tiba-tiba je rase nak baca cerpen dekat penulisan2u.my tu....Punya la bersemangat sebab dah lame tak bace cerpen melayu, sibuklah jari ni duk meng’click’ mana-mana tajuk yang agak-agak menyentuh kalbu gitu. Main terjah je cerpen-cerpen ni, tengok-tengok tajuk yang agak best tu... oh boleh la bace.

Bersemangat aku baca cerpen pertama, syok jugak pasal anak datuk ni. Kaya tapi tak sombong sebab meminang cikgu kampung je. Apa kata orang sekarang? Err...’low profile’ gitu.

Bace la pula cerpen kedua...ah, cerita sedih. Pasal anak Datuk ni la pulak jatuh cinta dengan kawan seuniversiti...syok2 gitu campur dengar air mata yang merabak-rabak jatuh...huhu sedih....

Masuk cerpen ketiga.....ah hero dia askar, bawah angkatan tentera Malaysia gitu. Berkobar-kobar pulak semangat patriotik dan mempertahankan negara dalam jiwa ni. Uh, bace-bace ooo.....bapak dia nama Dato’ Aysraf.Hmmm.

Beralih pulak cerpen keempat, macam ni mula dia lebih kurang....
“Aliff Hariss anak Datuk Hisyam...Dia bekerja di syarikat papanya........Datuk Zaid bapa kepada  XXX(heroin dia)”...

dahi aku dah mula berkerut-kerut. Sejak bila la pulak majoriti rakyat Malaysia ni dapat gelaran Datuk. Pelik betul la aku. Pemurah betul Raja-Raja Melayu kita sekarang yer...ramai jer yang dapat gelaran datuk. Tak ada ke cerita anak cikgu kahwin dengan anak penoreh getah ke. Tak pun, kerani vs pembantu pentadbiran ke....huhuhu. Tetiba rasa macam masuk dalam dunia capitalism eropah pulak...yang hero ni semuanya kaya-kaya danmacho-macho gitu, yang heroin pula semua anak orang miskin dan pun kelas pertengahan la boleh dikatakan...setahu aku, Malaysia ni negara demokratik. Kalau ada yang lebih kaya pun, ala setakat lebih tanah sekangkang kera camtu jer bukan nyer banyak mana pun. Tapi kalau yang betul-betul miskin tu, berteraburan la juga..(entahlah, tak pernah survey lagi ni-pemikiran tipikal aku).

Bila bace semua cerpen ni, nampak sangat isu material dan kedudukan tu sangat-sangat dinilai tinggi oleh rakyat-rakyat Malaysia amnya. Ye la, sapa tak nak kan kahwin dengan orang kaya, anak datuk, Tan Sri, Datuk Sri yang banyak pangkat tu. Kalau boleh, tak mau anak datuk dah...dengan datuk-datuk tu sekali mahu diangkatnya. Bak kata orang kecik tapak tangan,bukan setakat satu padang bola sepak tu, malah seluruh stadium pun sanggup ditadahkan. Aku pun nak juga terutamanya kalau tambah dengan mas kahwin yang agak-agak berpuluh-puluh ribu itu....hehehe fantasi semata-mata. Tapi isu ni yang yang kita kena tackle sekarang ni. Semua fantasi gadis-gadis sekarang dah berkisar tentang anak-anak datuk. Kalau-kalau lelaki biasa yang kerjanya biasa dan rupanya biasa dah jadi apa orang kata below standard. Bukannya aku nak jadi kritikal tapi ni la realitinya sekarang. Walaupun aku tak nafikan, ramai jugak la yang pakai kahwin terjah jer sebab takut-takut jadi andartu gitu, tapi tak kurang juga yang masih memilih-milih. Tak apa laki orang pun, asal kaya dan handsome, sanggup la jadi yang nombor dua atau tiga. Hehe....bukan nak prejudice ye kat sini. Ye la Nabi pun pernah bersabda yang di akhir zaman ni, memang wanita akan jadi lagi banyak dari lelaki, so apparently, polygamy memang diperlukan kan.....walaupun che harap bagi che la, mintak selisih malaikat 44 gitu kata orang lama yer.....kalau ada jodoh nanti la InsyaAllah....

Niat di hati bukan nak memburukkan cerpen-cerpen yang ada di laman web (walaupun aku tak tahan nak menambah cerita2 kat situ kebanyakkannya cliche),cuma....entahlah, isu yang dibawakan tak keluar dari kotak pemikiran ni.

Pendek kata, aku taklah membangkang cerita-cerita yang tak realistik ni kalau boleh bawa manfaat dan pengajaran kepada orang lain. Ambik contoh, cerpen-cerpen ringkas masa tingkatan tiga dulu la, err...cerita fantasi ..er..ah apa tajuk ntah dah tak ingat dah...yang naik ke dunia baru tu, kapal angkasalah. Ala yang menang hadiah penulisan tu. Cerpen tu langsung tak realistik, tapi dapat membina nilai kreativiti penulis gitu. Kadang-kadang banyak jer baca penulisan di website tu tetapi mungkin sebab site penulisan cerpen tu bukan site untuk penulisan sastera, tak banyak benda yang boleh kita pelajari terutamanya tentang gaya penulisan Melayu yang sebenar. Ye la nilai-nilai sastera klasik gitu dengan penggunaaan ayat yang betul. Kita kena hargai bahasa kita ni. Bak kata radio dan tv tu dulu, bahasa jiwa bangsa kan....kan....hehehe
Ceh aku ni rasa macam apa kata orang  putih tu ‘pot calling the kettle black’ kalau Melayunya tak salah aku ‘kata belanga periuk hitam’ gitu ye. Sibuk je aku galakkan orang menulis ikut cara penulisan yang betul tapi aku ni sendiri menulis main hentam jer. Tak de ikut hukum dah, main terjah jer asal orang paham dan aku paham....huhu...

Sambung lagi yer.....
Nabi ada cakap, kalau nak cari isteri ada 4 kriteria yang boleh dilihat; rupa parasnya, keturunannya, hartanya,  dan agamanya. Dan yang lebih baik itu kamu pilihlah kerana agamanya.....
Dan kerana agama ni,aku appreciate banyak penulisan-penulisan yang berkisarkan wanita-wanita solehah yang cuba nak mengubah hero-hero mereka menjadi iman-iman yang hebat dan sebaliknya, tapi ada satu je yang aku tak rasa berapa nak hebat; bila bab-bab nikah kahwin, muhrim tak muhrim jer yang dia pro...Isu lain dalam kehidupan kurang diserlahkan. Macam pembahagian harta ke antara anak angkat, anak susu, anak pungut dan bagai-bagai anak lagi la yang muncul dalam cerpen tu. Tak pun pasal jihad ke. Nak-nak time-time perang macam ni kan. Kalau masuk sikit isu-isu semasa dalam cerpen romatik tu ok jugak(ala-ala novel Jaja dan Din gitu. Syok apa.)....Lagi satu kalau character je yang islamik tapi cara penulisan yang tak Islamik tak guna juga kan...kan...sebab untuk menyentuh hati pembaca secara keseluruhannya, karya itu sendiri perlu menyeluruh betul tak???cewah bukan main lagi aku tulis kat sini. Tapi kalau ada yang tanya macam mana nak menulis secara menyeluruh, aku tak tahu. Aku ni masih lagi pucuk hijau gitu.....kritik sedap tak sedap, aku tahu. Tapi, kalau suruh masak satu-satu tak tahu. Tak professionallah katakan...huhu>

Tapi ada satu yang tak berapa nak berkenan kat hati aku ni bila sebut pasal novel islamik,cerita islamik ni, unsur romantism nyer tu kadang-kadang melampau-lampau pulak. Bukan nyer apa oihttt kalau dah semua main si suami peluk pinggang, peluk pipi, cium bibir dan tututut(silalah gunakan bayangan sendiri) macam mana diorang ni tak lalai? Unsur baik dah masuk, tapi unsur lalai tu masuk jugak. Kalau yang dah matang boleh menilai tu, dua-dua unsur dia amik jadi pengajaran, tapi kalau ‘single minded’ woman macam aku ni, nak-nak anak dara yang baru nak kenal romantis-romantis ni, aku amik satu ja....apalagi unsur yang seronok la..Entah ke mana pergi terbengkalainya unsur-unsur yang positif tadi tak tahu la. Betul la, dalam pembinaan cerita ni, benda-benda tu la yang ada nilai-nilai apa orang bussines kata? Publisiti, promotion, publication....ah macam tu la lebih kurangnya yer. Tapi perlulah berpada-pada yer. Tak perlulah semua isi pati dalam kelambu tu nak didedahkan kepada peminat-peminat novel yang masih lagi tergolong dalam golongan ‘mentah muda’ lagi ni....jadi penulis novel ni pun kena la berhati-hati dan berserdahana, jangan buku tu bila ditimbang lagi berat ke kiri ke atau ke kanan, tak sempat nak naik timbang lagi dah bergolek-golek pulak dia pergi ke kiri kan....huhu kan susah tu sebab penulisan buku ni bab kata orang jihad kecil, ataupun dakwah kecil-kecilan gitu.

Bila dah tulis banyak-banyak kat sini terasa pulak macam nak tulis cerpen pendek. Macam ni permulaan dia..

“Idham memandang tajam ke arah susuk tubuh yang sangat dikenalinya itu. Walaupun wanita bertudung itu membelakanginya, dia seolah-olah dapat melihat senyuman manis yang terukir di wajah anak dara Datuk Zamri itu.......”

 *mengeluh* nampaknya aku pun penulis tipikal macam penulis2 lain jugak kan...kan...kekekeke tanpa sedar nak jugak masukkan anak Datuk tu....saje nak penuhkan korum..huhu J
Okeih....till next time.

Sunday, August 11, 2013

New Blog!!!

Assalamualaikum semua......
huhu entah pada sape2 la ye salam ni...
Dah lama berangan nak buat blog sebenarnya tapi tak pernah jadi.....
Akhirnya angan-angan selama 4 tahun ni tercapai juga hari ni...

Huhu..kenapa ambil masa 4 tahun???
Sebab nye dah kena penyakit......
M- malas
B- bertangguh-tanguh
B- berangan lebih
S- suka tidur

Hmm....tak elok kena penyakit MBBS ni huhu...

Jangan tersinggung yer sape2 yang buat MBBS(Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery) sebab I pun memang bawah program MBBS juga.Hehe...saje-saje merapu je tu kat atas.

Apa-apapun tahniah kepada diri sendiri sebab hajat yang dah lama ni dah tercapai akhirnya. Tapi kalau ada yang nak tanya kenapa nak buat blog ni dan apa tujuannya erm...jawapannya saje-saja. Nak memupuk nilai kreativiti dan bakat terpendam kot...cewah!!!...cakap je lebih ni. Entah pape la yang aku merapu...
Walau apapun kepada diri sendiri "Welcome to the Blogger World".